M Update, 18/9/2020 – Penternak dilarang daripada menyembelih, makan dan menjual ternakan yang dijangkiti penyakit Haemorrhagic Septicaemia (HS) atau hawar berdarah.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu Dr Mohd Termizi Ghazali berkata, biarpun penyakit HS itu tidak menjangkiti manusia, namun daging haiwan yang dijangkiti penyakit itu tidak dibenarkan dijual dan tidak digalakkan untuk dimakan.
“Bakteria Pasteurella multocida Carter’s Type B daripada HS hanya menjangkiti lembu dan kerbau sahaja dan tidak memberi kesan ke atas manusia. Bagaimanapun, itu tidak bermakna penternak dibolehkan menyembelih haiwan yang dijangkiti HS untuk memakan atau menjual dagingnya.
“Daging yang tercemar dengan bakteria, dibimbangi juga akan memberi kesan sampingan lain yang tidak diketahui kepada manusia, malah agama juga melarangnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Termizi berkata, penternak yang terjejas kerana wabak HS itu perlu akur dan menerima kerugian.
“Jangan sesekali bertindak menyembelih ternakan yang dijangkiti HS dan menjual dagingnya untuk mengelak daripada mengalami kerugian,” katanya.
Tambahnya, ternakan yang dijangkiti HS kebiasaannya akan mati dalam tempoh 24 jam dan bakterianya cepat merebak sekiranya tidak dikawal.
“HS boleh merebak melalui air dan burung hijrah dan boleh menyebabkan penyakit itu merebak dari satu tempat ke tempat yang lain. Hanya melalui suntikan vaksin atau pelalian HS sahaja yang boleh mencegah ternakan daripada dijangkiti penyakit berkenaan,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan kematian mengejut kerbau di beberapa kawasan termasuk di kandang kerbau keluarga Muhammad Syukur Khamis, 15, atau lebih dikenali sebagai ‘Mowgli Malaysia’ kerana penyakit Haemorrhagic Septicaemia (HS) atau hawar berdarah. – HM Online
The post JPV: Jangan Makan Daging Dijangkiti Hawar Berdarah appeared first on M-Update.
source : M-Update