“Tak Mampu Nak Besarkan Anak”, Wanita Tinggalkan Bayi Baru Lahir Di Kaki Lima

Seorang bayi yang baru lahir telah dilaporkan ditemui ditinggalkan di sebuah kaki lima di China selepas ibunya yang berusia 19 tahun menyatakan bahawa dia belum berkahwin dan tidak mampu membesarkan anaknya itu, lapor Daily Mail.

Bayi yang berada dalam keadaan tanpa seurat benang itu telah ditemui dibungkus di dalam sebuah beg plastik hitam oleh seorang pejalan kaki yang terdengar suara bayi menangis di wilayah timur China, Zhejiang.

Bayi yang berusia sekitar dua hari itu telah dibawa ke hospital tempatan untuk pemeriksaan, kata polis.

Ibu kepada bayi itu dilaporkan telah ditahan pihak polis kerana disyaki membuang bayi berkenaan. Bayi tersebut kini dipercayai sedang dijaga oleh ahli keluarga wanita terbabit.

Bayi perempuan tersebut telah ditemui oleh seorang penduduk setempat yang dikenali dengan nama Luo, di bandar Zhuji pada 16 Ogos lalu.

Menurut media tempatan, ketika Luo sedang berjalan menuju ke sebuah kilang tempatnya bekerja, dia secara tiba-tiba telah terdengar suara tangisan bayi.

Ketika menghampiri suara tangisan tersebut, dia telah terkejut apabila mendapati bahawa terdapat seorang bayi yang sedang berada dalam keadaan telanjang dibungkus di dalam beg plastik hitam bersama dengan beberapa helai pakaian di tepi jalan.

Sejurus selepas itu, pihak polis terus dipanggil ke tempat kejadian dan kemudiannya membawa bayi tersebut ke hospital tempatan untuk melakukan pemeriksaan lanjut.

Doktor menyatakan bahawa bayi itu berada dalam keadaan sihat dan baru dilahirkan kurang 72 jam yang lalu.

Semasa siasatan dijalankan, pegawai polis telah berjaya mengenal pasti ibu kepada bayi berkenaan menerusi rakaman kamera CCTV.

Susulan daripada itu, wanita tersebut telah mengakui perbuatannya itu selepas pihak berkuasa berjumpa di tempat kerjanya.

Difahamkan, Pekerja migran yang berusia 19 tahun itu telah berpindah ke bandar timur China dari tengah China untuk mencari pekerjaan tahun lalu.

Sebelum meninggalkan kampung halamannya, wanita terbabit dilaporkan telah berpisah dengan teman lelakinya. Namun selepas dari itu, wanita berkenaan baru mendapat tahu bahawa dia sedang menjangkakan kelahiran bayinya tidak lama setelah dia tiba di Zhuji.

Bimbang dengan reaksi keluarga dan rakan-rakannya terhadap dirinya yang belum berkahwin dan hamil, wanita tersebut telah bertindak menyembunyikan berkenaan perkara itu. Dia juga turut dilaporkan memakai pakaian yang bersaiz besar ke tempat kerja untuk mengelakkan daripada diketahui rakan-rakannya.

Pada 15 Ogos, air ketuban wanita tersebut tiba-tiba pecah semasa dia sedang bekerja di tempat kerjanya. Dia kemudiannya telah meminta bosnya untuk cuti dan bergegas balik ke flat sewaannya.

Ibu muda itu akhirnya melahirkan anak perempuannya itu di rumah. Dia bahkan memotong tali pusat tersebut dengan menggunakan pisau lipat yang terdapat di rumahnya sendiri.

Susulan daripada itu, wanita berkenaan telah memutuskan untuk meninggalkan bayi terbabit kerana dia tidak mampu untuk membesarkan anak itu sendirian. Dia kemudiannya telah bertindak membungkus bayi yang baru lahir itu di dalam beg plastik dan membuangnya di kaki lima selepas beberapa jam bersalin.

Bekas teman lelaki wanita berkenaan dilaporkan enggan menjaga bayi tersebut berikutan kejadian itu. Keluarganya telah pergi ke Zhuji untuk menyelesaikan perkara itu dan menjaga bayi perempuan terbabit, menurut laporan.

Wanita tersebut kini telah ditahan oleh pihak polis selepas dia disyaki meninggalkan bayi berkenaan, kata pihak berkuasa. Siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sumber: Daily Mail

The post “Tak Mampu Nak Besarkan Anak”, Wanita Tinggalkan Bayi Baru Lahir Di Kaki Lima appeared first on Suara Viral Malaysia.



source: Suara Viral Malaysia

Post a Comment

Previous Post Next Post