Akta Pindaan Baharu: Sembilan Pemandu Mabuk Didakwa

MUpdate, 26/10/2020 – Sembilan individu menjadi antara yang terawal didakwa atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol mengikut pindaan baharu di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan pindaan 2020 yang berkuatkuasa, Jumaat lalu.

Tertuduh yang berusia lingkungan 25 hingga 56 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini. Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan memandu kereta di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan iaitu 50mg dalam 100 mililiter darah pada 23 Oktober hinggan 25 Oktober di sekitar Johor Bahru.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pindaan 2020 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000, dipenjarakan sehingga dua tahun serta hilang kelayakan lesen selama dua tahun.

Lapan daripada mereka mengaku bersalah manakala seorang lagi mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nur Asidah A.Rahman.

Bagi lapan individu termasuk seorang wanita yang mengaku bersalah, Nur Asidah menjatuhkan hukuman penjara selama tujuh hari dari tarikh sabitan kes, denda RM10,000 serta hilang kelayakan lesen selama dua tahun. Jika gagal membayar denda mereka akan dipenjara selama 10 bulan.

Sementara itu, mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM13,000 terhadap seorang lelaki yang mengaku tidak bersalah dan menetapkan 26 November depan untuk sebutan kes.

Pegawai Pendakwaan Trafik, ASP Azmi Abdul Salam meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran manakala kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman denda minimum atas alasan mereka menanggung keluarga serta telah insaf.

The post Akta Pindaan Baharu: Sembilan Pemandu Mabuk Didakwa appeared first on M-Update.



source : M-Update

Post a Comment

Previous Post Next Post