Fenomena Terbaru ‘Train to Dabong’

‘TRAIN to Dabong’ mencetuskan fenomena baharu dalam kalangan rakyat negeri Kelantan untuk melancong ke pekan Dabong setiap hujung minggu.

Lokasi yang sebelum ini digelar sebagai tempat jin bertendang mula popular sejak sebulan lalu.

Semuanya gara-gara penularan pandemik koronavirus (Covid-19) pada Mac lalu yang menyebabkan pintu sempadan negara ditutup sekali gus menghidupkan semula Dabong sebagai lokasi ekopelancongan yang sebelum ini digemari orang asing.

Lebih menarik, pengunjung menggunakan kemudahan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang mengambil masa selama tiga jam dari Wakaf Bharu, Tumpat sehingga tercetusnya fenomena ‘Train to Dabong’.

Ia diakui sendiri Pengurus Stesen KTMB Dabong, Adnan Aripin, 57, yang sudah berkhidmat di sini sejak 10 tahun lalu.

“Sebelum ini, Stesen Dabong hanya digunakan oleh penduduk setempat dan pelajar sekolah. Jumlahnya pula tidak sampai 100 orang.

“Tapi, sejak fenomena ‘Train to Dabong’, stesen ini menerima kunjungan hampir 1,000 orang pengunjung setiap hari Jumaat dan Sabtu,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Adnan berkata, pertambahan pengunjung yang luar biasa itu bukan sahaja memberikan kelebihan kepada KTMB tetapi juga rezeki terpijak kepada orang kampung.

Menurutnya, sejak sebulan lalu penduduk mendapat rezeki tambahan dengan menyediakan perkhidmatan sewa kenderaan, berniaga makanan dan rumah tumpangan.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Strategik KTMB, Ahmad ‘Asri Khalbi berkata, disebabkan sambutan luar biasa itu, pihaknya terpaksa menambah sebanyak lima gerabak tambahan pada hari Jumaat dan Sabtu berbanding sebanyak empat gerabak pada hari biasa bagi menampung jumlah pengguna yang menaiki kereta api.

“Kami di KTMB berasa amat gembira dengan sambutan yang diterima. Hampir setiap minggu gerabak kereta api dipenuhi dengan penumpang bukan sahaja dari Kota Bharu, malah ada juga dari daerah lain yang mengambil peluang mahu merasai sendiri pengalaman menaiki kereta api,” katanya.

Katanya, tiket yang dikenakan untuk dewasa berharga RM5 dan bagi kanak-kanak pula sebanyak RM3 untuk perjalanan sehala.

“Waktu perjalanan pada jam 4.20 pagi dan 10.30 pagi. Orang ramai boleh memilih berada selama sejam di sini sebelum menaiki kereta api yang sama untuk pulang atau menaiki kereta api terakhir pada jam 6 petang.

“Selain dapat menikmati keseronokan menaiki kereta api sambil melihat keindahan alam semula jadi, pengunjung yang datang ke Dabong boleh melawat Gua Ikan, Air Terjun Jelawang dan Gunung Stong,” katanya.

Join Telegram

The post Fenomena Terbaru ‘Train to Dabong’ appeared first on Suara Viral Malaysia.



source: Suara Viral Malaysia

Post a Comment

Previous Post Next Post