KESEIMBANGAN

Kehidupan perlu seimbang. Dan seimbang tidak bererti sama rata. Keseimbangan ibarat memberi keadilan kepada pelbagai aspek dengan memberi keutamaan kepada beberapa ehwal tanpa meminggirkan perihal-perihal lain bersesuaian dengan suasana dan keperluan. Ia dinamik dan berubah-ubah. Tiada pegaruh tunggal tetapi pasti ada beberapa faktor yang dominan dalam membentuk situasi pada waktu dan ketika itu.

Inilah yang seluruh rakyat Malaysia sedang hadapi. Faktor dominan pada ketika ini adalah ancaman penularan wabak COVID-19. Tetapi ia bukan satu-satunya faktor dominan yang menjadi perhatian. Kelangsungan hidup rakyat, keruncingan daya belanja isi rumah, himpitan ekonomi dalam negara dan hari esok yang tidak menentu sentiasa berlegar dalam pemikiran hampir semua orang pada ketika ini. Disebalik kegawatan ini, hakikatnya politik dalam negara tidak pernah sunyi dengan pelbagai tindak tanduk demi menguasai pentadbiran negara secara demokrasi ala Malaysia. Ini lah hiruk pikuk kehidupan rakyat Malaysia yang kita semua merasa tempias atau acap kali bukan sahaja tempias, malahan siraman basah lencun tidak terjangka.

Apa jua yang melanda negara pada ketika ini, kita secara bersama harus seiringan untuk menelusuri jalan keluar yang berliku ini. Kemelut yang negara hadapi ini memerlukan seluruh rakyat Malaysia bersatu. Kita mungkin tidak boleh berjalan berpimpin tangan pada ketika ini. Tetapi walaupun ada penjarakan fizikal, ada penjarakan politik dan perbezaan pandangan, hakikatnya kita mempunyai musuh dominan yang sama pada ketika ini – wabak COVID-19. Di sinilah kita perlu bergerak bersama di sebalik pelbagai jarak dan tembok halimunan yang memisahkan kita. Di sinilah kita semua perlu berfikiran waras, rasional penuh toleransi, tidak panik dan tidak mementingkan kelompok serta diri sendiri. Kita perlu mementingkan khalayak kerana kita sendiri sebahagian dari khalayak yang lebih besar.  Keutamaan perlu diberi terhadap perihal paling penting ketika ini – melawan pandemik COVID-19 dan meneruskan kelangsungan hidup.

Justeru kita perlu seimbang di dalam memastikan usaha membendung penularan wabak dipergiat dan dalam pada masa yang sama memperkukuh usaha meneruskan kelangsungan hidup rakyat. Kedua-dua ini saling berkait dan memerlukan komitmen individu, komitmen institusi serta komitmen komuniti. Komitmen setiap pihak tanpa mengira latarbelakang penting. 

Kefahaman terhadap peri penting pematuhan kepada langkah-langkah pencegahan wabak akan membolehkan keseimbangan ini dicapai. Kita tidak mampu lagi berhadapan seluruh negara terkurung serta terkekang dari meneruskan pelbagai gerak langkah kehidupan. Apabila kita kembali bangkit dan berusaha untuk berjalan kembali, jangan lah ada acara membentes usaha ini disebabkan kebiadapan, kedangkalan dan kelekaan disebabkan sikap mementingkan diri sendiri. Perilaku dan peribadi baik ini terguna pakai kepada semua orang tanpa mengira darjat, kedudukan dan latarbelakang. Disiplin diri dan disiplin komuniti harus sentiasa dilaksana secara istiqamah sebilang masa.

Apabila kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di beberapa lokasi, ini semua tujuannya untuk memberi keseimbangan kepada segenap aspek kehidupan. Wabak COVID-19 diperangi demi keselamatan dan kesihatan awam. Pada masa yang sama aktiviti ekonomi dibenarkan berlaku dengan syarat pematuhan yang ketat kepada SOP ditetapkan MKN dan KKM. Keseimbangan ini memerlukan tindakan bersama dari kita semua. Ia tida boleh hanya dalam poster poster dalam media sosial. Ia tidak boleh hanya dari papan-pakan iklan di tepi lebuh raya. Ia tidak boleh hanya dari laungan-laungan dalam siaran TV dan radio. Ia harus benar-benar dilaksanakan dengan sepenuh komitmen. Strategi mencapai keseimbangan ini tidak boleh menjadi retorik. Ia perlu diterjemahkan dengan tindakan secara individu mahupun sebagai suatu komuniti. Norma baharu mesti dibudayakan.

Sebelum ini Hero negara kerap memperingat, COVID-19 ini ibarat api dalam sekam. Kita telah hampir pulih tetapi akibat alpa dan leka, api ini telah kembali marak. Maka kembalilah petugas barisan hadapan kembali berjuang demi mempertahankan khalayak. Dan ketika ini kemarakan itu masih menyebar luas dan para petugas barisan hadapan masih bertungkus lumus memeranginya. Perkara yang sepatutnya boleh dikawal kembali berulang kerana ketiadaan keseimbangan dalam tindakan individu dan budaya khalayak. Kita sepatutnya belajar dari kejadian ini. Natijah yang sedang berlaku ini sewajarnya menjadi pengajaran yang tebaik untuk kita mengelak dari membuat kesilapan yang sama. Ubat yang paling pahit adalah mengaku silap sendiri dan tidak menuding jari kepada orang lain. Dan ubat yang paling pahit ini lah yang kita harus telan dan hadam agar musibah ini, mudah-mudahan tidak kembali berulang.

Dugaan kepada negara ini, kita lah yang harus bersama-sama berusaha menyelesaikannya. Setiap individu, institusi dan komuniti ada peranan masing-masing. Hero negara telah kerap berpesan, kita perlu mengambil strategi yang seimbang di dalam memerangi penularan wabak COVID-19 dan dalam pada masa yang sama menerusan kelangsungan hidup. Hanya dengan disiplin dan komitmen tinggi yang diterjemahkan dengan perilaku individu dan dibudayakan oleh komuniti, keseimbangan ini boleh dicapai. Mudah-mudahan dengan keseimbangan ini kita secara bersama boleh memenangi perang melawan musuh yang tidak kelihatan ini.

Ibnu Muhsin

15 Oktober 2020

The post KESEIMBANGAN appeared first on M-Update.



source : M-Update

Post a Comment

Previous Post Next Post