Kuala Krai: Hampir 10 tahun dia mendiami bangsal kecil dalam kebun getah bersama suami sehinggakan proses kelahiran ketiga-tiga anaknya juga dilakukan sendiri tanpa dirujuk ke hospital.
Bagaimanapun sejak kematian suami pada April lalu, Rini Mohd Yusup, 41, bersama tiga anaknya, Mohamad Safuan, 8, Mohamad Alsam, 6, dan Nor Saimah, 4, berpindah ke sebuah rumah di Kampung Limau Madu, di sini, yang disewa sebanyak RM50 sebulan.
Kehidupan ibu tunggal yang berasal dari Acheh, Indonesia yang selama ini sukar bertambah melarat sejak kematian suami, seorang warga Bangladesh, Saiful, 50, menyebabkan dia bertekad untuk kembali semula ke kampung halamannya sebaik sempadan negara dibuka suatu hari nanti.
Dia berkata, kehidupan mereka sangat terdesak kerana kekangan sumber pendapatan memandangkan dia baharu saja diberi meneruskan kerja suaminya dengan menoreh getah.
Katanya, dalam keadaan dia tidak berapa mahir dengan pekerjaan itu, keadaan sekarang yang kerap hujan menyukarkan mereka lagi untuk mendapat hasil.
“Keluarga saya di Acheh sana pun susah dan hanya bekerja di kebun sayur tapi sekurang-kurangnya saya dapat berada di samping keluarga kerana di sini langsung sudah tiada sesiapa lagi.
“Jiran tetangga semua baik dan sentiasa menghulurkan bantuan termasuk makanan menyebabkan saya tidak sanggup untuk terus membebankan mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, baru-baru ini.
Terdahulu mereka dikunjungi kumpulan aktivis masyarakat iaitu Pertubuhan Cempaka Merah Asnaf, yang diwakili Che Norhayati Mohamed tampil menghulurkan sumbangan makanan kepada mereka empat beranak.
Rini yang datang ke negara ini dan bekerja sebagai pembantu rumah di Kuala Lumpur sejak 20 tahun lalu, berkata hidup berlapar seakan sudah lali bagi mereka malah pernah berhutang dua bungkus mi segera di kedai runcit untuk makan malam mereka empat beranak.
Menurutnya, biasanya dia dan tiga anaknya hanya makan sekali sehari dan jika ada beras yang diberi jiran, mereka akan masak dan makan dengan berkuahkan budu sahaja.
“Hutang di kedai runcit sentiasa ada sehinggakan saya sudah berasa malu untuk terus berhutang makanan tapi demi anak saya tebalkan muka kerana jika tidak, kami akan berlapar.
“Saya sudah biasa hidup susah tapi apabila melihatkan wajah anak, kerap air mata ini jatuh kerana tidak mampu memberi keselesaan buat mereka.
“Saya janji apabila sempadan negara dibuka nanti, kami akan kembali ke Acheh kerana sudah tiada apa-apa lagi buat kami di sini kecuali mengenangkan kebaikan jiran tetangga yang akan saya ingat sampai mati,” katanya.
sumber Harian Metro
The post Kuala Krai: Kehidupan ibu tunggal, Berhutang mi segera untuk alas perut appeared first on Suara Viral Malaysia.
source: Suara Viral Malaysia