M Update, 8/10/2020 – Beberapa kategori permohonan untuk kebenaran masuk atau keluar dari Malaysia bagi warganegara dan warga asing dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember boleh dilakukan melalui “single window” iaitu sistem MyTravelPass yang boleh diakses di laman sesawang rasmi Jabatan Imigresen (JIM), mulai hari ini.
Tempoh proses kelulusan bagi permohonan melalui MyTravelPass adalah lima hari bekerja. Pemohon yang ingin masuk atau keluar dari Malaysia pada 10 haribulan, permohonan MyTravelPass perlu dikemukakan kepada JIM sebelum 5 haribulan. Permohonan perlu disertakan dokumen sokongan yang berkaitan. – Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud
Kategori permohonan yang boleh dikemukakan melalui MyTravelPass adalah permohonan masuk melalui “Singapura Reciprocal Green Lane” dan “Periodical Commuting Arrangement”, permohonan keluar negara oleh rakyat Malaysia atas sebab yang boleh dipertimbangkan dan permohonan masuk oleh warga asing atau penduduk tetap.
Kategori lain termasuklah permohonan masuk oleh majikan bagi kategori pembantu rumah asing dan pas lawatan kerja sementara, permohonan masuk oleh warga asing kategori pasangan kepada warganegara Malaysia atau pasangan kepada penduduk tetap atau anak kepada warganegara Malaysia atau penduduk tetap, permohonan masuk oleh warga asing ekspatriat dan permohonan masuk oleh warga asing di bawah program “Malaysia My Second Home”.
Kelulusan yang diberikan, sama ada lulus atau gagal adalah melalui e-mel. Mereka yang memberikan deklarasi, maklumat yang salah atau dokumen palsu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Imigresen. Mohon mudah, tapi kelulusan belum tentu.
Sistem MyTravelPass ini dibangunkan oleh bahagian sistem teknologi maklumat JIM dan merupakan satu inisiatif hujung ke hujung perkhidmatan kerajaan untuk memantapkan sistem penyampaian. Bagi senarai kategori bagi permohonan MyTravelPass ini berkemungkinan akan dikaji semula selepas PKPP tamat pada 31 Dis depan, namun ia bergantung kepada keadaan ketika itu. – Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud
Sebelum ini, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), permohonan keluar masuk ke negara ini oleh warganegara dan warga asing dibuat melalui e-mel JIM bagi semua jenis permohonan. Bagaimanapun, menyebabkan JIM menerima aduan tentang kelewatan mendapatkan keputusan kerana terlalu banyak e-mel diterima sehingga 8,000 e-mel pada satu-satu masa.
Bagi warga tempatan dan warga asing yang termasuk dalam kategori dibenarkan keluar atau masuk terus tanpa perlu memohon kelulusan awal, kebenaran ini masih berkuat kuasa dan mereka tidak perlu memohon kebenaran melalui sistem MyTravelPass.
The post Permohonan Keluar, Masuk Warganegara Dan Warga Asing Menerusi MyTravelPass Bermula Hari Ini appeared first on M-Update.
source : M-Update