POLEMIK POLITIK PANDEMIK: RAJA BERSAMA RAKYAT

Suasana resah dan gelisah di kalangan masyarakat umum pada ketika ini tidak sukar untuk ditafsir. Himpitan meneruskan kelangsungan hidup akibat kesan ancaman musuh tidak dijangka telah hampir memasuki bulan ke sepuluh. Ekonomi menguncup. Perniagaan banyak yang tutup. Yang bekerja telah ramai hilang sumber pendapatan. Lulusan pusat pengajian masih ramai belum menemui sinar peluang bekerja. Perintah Kawalan Pergerakan baik yang Bersyarat, Diperketat ataupun Pemulihan yang dikenakan di seluruh pelusuk negara seboleh mungkin untuk memberi keseimbangan diantara keperluan ekonomi dan memelihara nyawa rakyat. Kini di lembah ekonomi Malaysia yang menyumbang 40% keluaran dalam negara juga sedang bergelumang untuk meneruskan aktiviti pembuatan dan perdagangan. Negeri di bawah bayu masih dibawah cengkaman ancaman yang masih belum dihapuskan. Kehidupan masih terjejas teruk. Periuk-periuk nasi masih banyak yang tidak cukup berasnya, baik di kota mahupun di desa.

 Disebalik hambatan ini, hakikatnya suasana politik Malaysia tidak pernah suram. Gelagat dan perilaku ahli, penyokong dan peminatnya seakan-akan sengaja tidak mahu ambil pusing tentang kendala dihadapi rakyat. Gejolak nafsu ingin berkuasa atau semangat ingin  mengekalkannya dicerminkan dengan tingkah laku yang melangkau adab dan susila. Demokrasi di Malaysia memberi jaminan akan betapa ruang dan peluang untuk ahli parti politik bergerak diatas landasan kebebasan bersuara. Sangat besar ruang diberi, hingga seakan-akan gelagat dan perilaku ini tidak membatasi kelakuan yang telah banyak menghiris perasaan rakyat. Garis sempadan keghairahan berpolitik ini sepatutnya bertepian. Apabila ia dilanggar, mangsa pertama adalah jelata yang hanya mampu menadah tangan agar nasib mereka sentiasa terpelihara oleh yang maha Esa. Adakah nasib dan masa depan rakyat hanya bergantung harap kepada elitis politikus yang berkuasa dan cuba berkuasa? Di negara lain mungkin, tetapi tidak di Malaysia.

 Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja adalah institusi negara yang tanpa gagal telah sentiasa memelihara kepentingan rakyat dan negara di kala sukar mahupun di kala jaya. Keluh kesah rakyat, tiada yang tidak sampai kepada pengetahuan Baginda Yang Di-Pertuan Agong serta seluruh Sultan dan Raja Melayu. Tidak kecil amanah memelihara kesejahteraan dan kemakmuran seluruh rakyat Malaysia. Institusi ini terus dihormati kerana ia sentiasa memayungi Panji-panjinya kepada segenap rakyat Malaysia tanpa mengenal latarbelakang sejak tertubuhnya Persekutuan ini. Ia telah dibuktikan sebelum ini malahan peristiwa yang sedang berlaku ketika ini mengukuhkan kedudukan Institusi Raja-raja Melayu ini sebagai suatu institusi yang amat dihormati. Peranan Raja Berpelembagaan selaku kuasa semak dan imbang demi memayungi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia amat lah dihargai sepanjang zaman. 

 Di sinilah, keluh kesah dan kegusaran rakyat di dengar di ruang-ruang istana. Kasih dan sayang Raja dan Sultan-Sultan terhadap seluruh rakyat Malaysia ini lah yang membatasi tingkah laku sekelompok kecil elitis politik yang rakus ingin berkuasa dalam sistem demokrasi yang telah dijamin Perlembagaan Persekutuan. Politik jika terlalu ekstrim adalah ancaman kepada demokrasi itu sendiri. Rasional dan toleransi dalam mentadbir negara adalah kunci kepada kestabilan sesebuah kerajaan melaksana amanahnya. Jika sebuah kerajaan terganggu-gugat sewaktu mentadbir negara yang sedang bergelumang dengan gelombang wabak, yang terancam adalah rakyat. Institusi Raja Berpelembagaan di Malaysia sentiasa sedar bahawa, berhadapan gelombang wabak ini rakyatlah yang terkesan langsung. Disebalik itu Rakyat juga yang bertarung mempertahankan sesama sendiri. Dan Kerajaan dilantik Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong juga berperanan melaksana tanggungjawab tadbir urus negara untuk berhadapan cabaran getir ini. Kebersamaan seluruh Malaysia untuk bersama memulihkan negara adalah kunci untuk berhadapan situasi yang suram lagi mencengkam ini.

 Akhirnya, berdiri teguh Yang Di-Pertuan Agong bersama Majlis Raja-Raja selaku Institusi yang mempertahankan rakyat agar politicking yang berlebihan ini dihentikan. Fokus dikembalikan memulihkan keamananan dan kesejahteraan rakyat. Polemik Politik di waktu Pandemik ini perlu diredakan. Kestabilan kerajaan dan jenteranya untuk berhadapan penularan wabak perlu dibantu dan disokong sepenuhnya. Kepercayaan harus di beri kepada seluruh jentera kerajaan yang sehingga kini terus diiktiraf antara terbaik di dunia. Pihak Istana sentiasa sedar, jentera kerajaan itu sendiri adalah dari kalangan rakyat. Petugas Barisan Hadapan adalah rakyat. Petugas Perubatan itu rakyat. Pasukan Keselamatan itu rakyat. Pegawai dan Kakitangan di Kementerian dan Jabatan juga rakyat. Pekerja Swasta dan Peniaga itu juga adalah rakyat yang turut bertanggungjawab menjaga rakyat. 

Kebersamaan Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja bersama rakyat ini adalah mesej jelas, bahawa Malaysia ini ada penjaganya. Tingkah laku yang menghiris jiwa dan kehidupan rakyat harus diperbetulkan. Amanah yang diberi harus di pikul dengan ikhlas dan jujur, bukan dengan bongkak dan takbur.  Ini kerana, seperti juga rakyat jelata, tindak tanduk ahli, penyokong dan peminat politik sentiasa diperhati oleh Istana. Demokrasi di Malaysia ini terjamin di dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun over-politcking yang menggugat keamanan dan kesejahteraan rakyat juga boleh menjadi api dalam sekam kepada demokrasi itu sendiri. Berpada-pada lah dalam apa jua kelakuan dalam ruang demokrasi yang telah dijamin oleh perundangan negara. Pecah belah, ganggu gugat dan api persengketaan perlu di tamatkan. Apabila suara dari Istana senada dengan rakyat di lorong kota dan desa maka, resolusi sepakat untuk memelihara keamanan dan kemakmuran tanah yang bertuah ini adalah manifestasi bahawa di Malaysia Raja dan Rakyat berpisah tiada.

Menjunjung Kasih. Daulat Tuanku.

Ibnu Muhsin

29 Oktober 2020

The post POLEMIK POLITIK PANDEMIK: RAJA BERSAMA RAKYAT appeared first on M-Update.



source : M-Update

Post a Comment

Previous Post Next Post