Tiada Keperluan Perisytiharan Darurat: Pengikhtirafan Dan Peringatan Dari SPB Yang di-Pertuan Agong

Oleh: Ahmad Syukri bin Khusaini

(Mahasiswa di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya)

Pada hari Jumaat 23 Oktober 2020 yang lalu, negara dikejutkan dengan satu Mesyuarat Kabinet Khas di mana ianya dikhabarkan berkaitan dengan peningkatan kes COVID-19 di Malaysia beserta kemelut politik di dalam negara. Sejurus tamat mesyuarat tersebut, Perdana Menteri dan beberapa Menteri Kabinet beserta Pegawai Kanan Kerajaan bergegas ke Istana Abdulaziz di Kuantan Pahang untuk menghadap SPB Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan cadangan-cadangan yang dibincangkan semasa mesyuarat tersebut. Difahamkan antara cadangan tersebut termasuklah cadangan sepaya Perisytiharan Darurat dilaksanakan bagi mengekang penyebaran COVID-19 di Malaysia. Berikutan itu satu Mesyuarat Khas Raja-Raja telah diadakan pada hari Ahad 25 Oktober 2020 bagi membincangkan cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh Perdana Menteri. Lewat petang hari yang sama, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara telah memaklumkan bahawa SPB Yang di-Pertuan Agong bertitah tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini buat masa ini.

Pengikhtirafan Terhadap Sumbangan Jentera Kerajaan

Sekiranya diperhalusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Dato’ Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, SPB Yang di-Pertuan Agong secara terang telah menzahirkan kepercayaan dan keyakinan terhadap kemampuan jentera kerajaan dalam menangani pandemic COVID-19. Maka kenyataan “Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan perdana menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 ini daripada terus merebak” adalah merupakan pengiktirafan tertinggi oleh Ketua Utama Negara terhadap pengorbanan keseluruhan jentera kerajaan khususnya para petugas barisan hadapan.

Jika dilihat kembali pencapaian jentera kerajaan dalam mengawal penularan COVID-19 di negara ini, ternyata sehingga Ogos 2020 penularan COVID-19 telah berjaya di kawal dengan cemerlang khususnya apabila dapat merekodkan sifar kes pada bulan Julai 2020. Kejayaan ini merupakan manifestasi terhadap usaha keras seluruh jentera kerajaan dengan kerjasama rakyat di negara ini yang sama-sama menjalankan tanggungjawab untuk memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dibendung. Antara penyumbang kepada kejayaan ini adalah tindakan pantas Kerajaan dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan daripada 18 Mac 2020 sehingga 12 Mei 2020. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan telah menyaksikan sebahagian besar rakyat di negara ini berada di rumah bagi memastikan rantaian penularan wabak COVID-19 dapat diputuskan. Ini diikuti dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan dan Perintah Kawalan Pemulihan. Pelaksanaan perintah-perintah ini telah berjaya melandaikan lengkung penularan COVID-19 di negara ini dan seterusnya membuktikan bahawa negara mampu untuk menghadapi dan menangani wabak COVID-19 dengan cemerlang. Namun pelaksanaan Pilihanraya Negeri Sabah telah merubah segalanya.

Situasi Semasa COVID-19

Sejak merakamkan kes pertama pada Januari 2020, Malaysia telah dilihat sebagai sebuah negara yang berjaya menangani penularan wabak COVID-19 dengan berkesan. Walaupun diawal peringkat awal penularan COVID-19, Malaysia adalah antara negara paling terkesan di rantau ini, namun disebabkan tindakan pantas Kerajaan dan dibantu oleh jentera kerajaan yang komited melaksanakan tugas maka negara ini berjaya menjadi antara negara yang mempunyai bilangan kes terkecil di rantau Asia Tenggara. Namun episod pelanggaran SOP semasa pelaksanaan Pilihanraya Negeri Sabah di dalam bulan September 2020 yang lalu telah menyaksikan gelombang ketiga COVID-19 di negara ini. Meskipun telah mencapai sifar kes harian, namun kini norma baharu bagi bilangan kes di negara ini berlingkar di sekitar 3 angka malah telah terdapat hari yang merakamkan kes melebihi angka 1 ribu. Situasi ini telah membangkitkan rasa bimbang dan gusar di kalangan rakyat negara ini tentang kemampuan Kerajaan menangani gelombang ke 3 COVID-19.

Lebih menyulitkan keadaan, situasi politik dalam negara yang kian meruncing telah meletakkan Kerajaan dalam situasi yang sulit. Spekulasi tentang parti kerajaan yang telah kehilangan majoriti di dalam Dewan Rakyat beserta Usul Undi Tidak Percaya yang dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat telah meruncingkan lagi keadaan. Malah pembentangan Belanjawan 2021 berdepan risiko tidak diluluskan.

Peringatan Buat Ahli Politik

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Dato’ Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, SPB Yang di-Pertuan Agong telah menegur ahli-ahli politik seperti berikut “Kendatipun begitu, Seri Paduka Baginda ingin mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politicking yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara”. Ini diikuti dengan “Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya Ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan Kerajaan sedia ada,” jelas kenyataan itu. Kedua-dua kenyataan ini merupakan peringatan yang jelas bahawa dikala negara menghadapi cabaran COVID-19, keselamatan dan kepentingan rakyat haruslah diutamakan. Sebarang percubaan untuk mengganggu gugat Kerajaan sediada akan memberi impak negatif kepada rakyat keseluruhannya.

Oleh yang demikian, keputusan SPB Yang di-Pertuan Agong haruslah diterima dengan hati yang terbuka oleh semua pihak. Sepertimana kenyataan  Dato’ Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, “Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat di dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka”. Maka semua pihak yang bertelagah seharusnya berjiwa besar dan bekerjasama bagi memastikan rakyat dan negara ini dapat mendepani wabak COVID-19 dengan berkesan. Ego haruslah diketepikan dan kemungkinan untuk kerjasama bipartisan haruslah dipelopori.

Negara ini pernah membuktikan kepada dunia tentang kemampuan untuk menangani penyebaran wabak COVID-19 dengan berkesan. Dibantu pengalaman dan strategi yang telah terbukti berkesan sehingga mencapai sifar kes harian, adalah diyakini bahawa Malaysia mampu untuk mengulangi kecemerlangan tersebut. Justeru sekiranya ada keperluan untuk melaksanakan semula perintah tersebut bagi melandaikan lengkung penularan COVID-19, maka Kerajaan perlu berani melaksanakannya semula bagi melindungi nyawa rakyat dan ekonomi negara dalam jangka masa panjang. Namun pemimpin negara harus lah berani untuk melaksanakan keputusan sukar sepertimana yang dilakukan semasa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac 2020. Pada masa yang sama, rakyat juga haruslah bersatu hati dan bersama-sama kerajaan dalam perjuangan ini. Sepertimana yang diucapkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, “Kita jaga diri kita, kita jaga keluarga kita, kita jaga komuniti kita dan kita jaga negara kita”. 

**Artikel ini adalah pendapat individu dan tidak semestinya mewakili pendirian M-Update.

The post Tiada Keperluan Perisytiharan Darurat: Pengikhtirafan Dan Peringatan Dari SPB Yang di-Pertuan Agong appeared first on M-Update.



source : M-Update

Post a Comment

Previous Post Next Post