Banjir di Kelantan dijangka berlaku 14 sehingga 16 November

Jabatan Meteorologi Kelantan menjangkakan berlaku banjir di kawasan pantai bermula 14 hingga 16 November ini, jika hujan lebat monsun berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar.

Pengarahnya, Rabiah Al Adawiah Zakaria, berkata, keadaan itu disebabkan oleh fenomena Perigee dan bulan baharu yang mana jika berlaku hampir serentak boleh menyebabkan air pasang lebih tinggi daripada biasa.

Katanya, keadaan sama diramalkan berlaku sekitar 12 sehingga 14 Disember, yang boleh menyebabkan berlaku angin kencang dan laut bergelora, justeru penduduk sekitar pantai serta golongan nelayan perlu berwaspada.

“Selain itu, jika sudah ada amaran yang dikeluarkan, diharap nelayan tidak ke laut demi keselamatan diri dan perlu sentiasa mendapatkan info terperinci untuk mengetahui keadaan cuaca dari semasa ke semasa.

“Pihak kami juga menjangkakan musim tengkujuh di Kelantan tahun ini hanya menyebabkan banjir biasa seperti 2019 dan tidak sebesar yang berlaku pada tahun 2014.

“Diramalkan hujan pula pada paras purata bagi November 2020 sehingga Mac 2021, kecuali sedikit melebihi paras purata pada Disember 2020, bermaksud hujan lebih lebat dijangka berlaku dalam tempoh terbabit.

“Keadaan itu ditambah dengan fenomena La Nina lemah yang berlaku menyebabkan cuaca menjadi lembap selain terdapat empat hingga enam episod luruan monsun yang membawa hujan lebat berterusan,” katanya pada sidang media di Pejabat Angkatan Pertahanan Awam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah APM Kelantan, Zainuddin Hussin.

Rabiah berkata, jumlah hujan bulanan bagi November ialah dijangkakan sebanyak 530 sehingga 760 milimeter (mm), manakala Disember pula membabitkan 680 sehingga 790 mm disebabkan oleh hujan lebat.

“Jika hujan lebat berlaku secara berterusan melebihi enam jam, kita menjangkakan jumlah hujan yang terkumpul dalam tempoh terbabit ialah sebanyak 60 mm. Jika ia berlaku terdapat tiga peringkat penyebaran amaran iaitu waspada, buruk dan bahaya.

“Pihak Jabatan Meteorologi Kelantan terus memberi khidmat terbaik dalam menyampaikan informasi kepada seluruh masyarakat bagi memastikan kami dapat menyalurkan maklumat secepat mungkin, terutama menjelang musim tengkujuh ini.

“Bagi penduduk yang terdedah banjir dinasihatkan berhati-hati dan mengambil langkah awal dengan berpindah ke pusat pemindahan sementara jika kawasan sudah mula dinaiki air,” katanya.

The post Banjir di Kelantan dijangka berlaku 14 sehingga 16 November appeared first on Suara Viral Malaysia.



source: Suara Viral Malaysia

Post a Comment

Previous Post Next Post