MCA puji Kelantan tangguh kenaikan cukai pintu

MCA Kelantan menyambut baik keputusan kerajaan negeri menangguh sebarang kenaikan bayaran cukai pintu di kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) ketika rakyat masih berdepan dengan pandemik koronavirus (Covid-19).

Pengerusi Perhubungannya, Chua Hock Kuan menyifatkan keputusan tersebut amat bertepatan memandangkan dalam situasi semasa kini, terdapat rakyat yang kehilangan pekerjaan dan menghadapi beban kewangan serta tekanan hidup.

“Langkah kenaikan sebelum ini kurang tepat pada masanya dan dengan perubahan ini ia akan menyerlahkan lagi keprihatinan kerajaan negeri dan kepekaan terhadap rintihan rakyat yang masih terkesan akibat penularan Covid-19 ketika negara sedang menangani gelombang ketiga wabak ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin dalam sau kenyataan memaklumkan penangguhan cukai pintu berkenaan membabitkan Seksyen 1 hingga Seksyen 28 kawasan MPKB-BRI.

Kerajaan negeri pada April lalu juga memperuntukkan RM29 juta bagi memberi bantuan bayaran ‘one off’ kepada penjawat awam serta petugas barisan hadapan di bawah kerajaan negeri selain mengecualikan bayaran sewa di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri selama dua bulan.

Sehubungan itu, MCA Kelantan amat mengalu-alukan langkah tersebut dan ingin mencadangkan agar kerajaan negeri terus meringankan beban rakyat Kelantan dengan pengurangan bayaran lesen premis, sewa premis, bayaran parkir dan sebagainya yang terletak di bawah bidang kuasa PBT buat sementara waktu berdasarkan kemampuan kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Hock Kuan juga turut mencadangkan supaya kerajaan negeri menyediakan lebih banyak kawasan atau ruang perniagaan untuk memberi ruang rakyat yang kehilangan pekerjaan memulakan perniagaan baharu secara kecil-kecilan.

Katanya, kemungkinan kutipan hasil MPKB-BRI akan berkurangan pada masa ini, tetapi dengan terlaksananya pelbagai langkah prihatin dan aktiviti perniagaan dapat diperkukuhkan, nescaya selepas pandemik ini berakhir, kegiatan sosioekonomi akan lebih dinamik serta kutipan hasil bukan sahaja kembali normal, malah akan berlipat ganda.

The post MCA puji Kelantan tangguh kenaikan cukai pintu appeared first on Suara Viral Malaysia.



source: Suara Viral Malaysia

Post a Comment

Previous Post Next Post