Disebalik keghairahan pasangan raja sehari yang mahukan yang terbaik di hari perkahwinan mereka, ramai antara mereka yang terpaksa berhabisan beribu ringgit malahan ada puluhan ribu ringgit sebagai kosnya.
Tidak dinafikan ada yang menjayakan majlis raja sehari ini dengan hanya bersederhana berdasarkan kemapuan masing-masing dan ada yang sanggup berhutang semata-mata ianya nampak ”grand”.
Tetapi, tahukah anda bahawa sebenarnya anda boleh berjimat untuk menghasilkan pelamin anda sendiri yang nampak “grand” tetapi modalnya begitu murah.
Kami kongsikan gambar pelamin majlis perkahwinan raja sehari Ema dan pasangannya yang dimuatnaik oleh Team Vv -The Art Thinker di vetovirago pada 2 Januari lalu di mana mereka menghasilkan pelamin yang amat cantik tetapi modalnya hanya semurah RM200.
Berikut adalah perkongsian yang dikongsikan oleh mereka.
Saiz pelamin (dalam gambar) adalah 3 meter x 4 meter
BARANG UTAMA YANG DIPERLUKAN (untuk backdrop tisu) :
- Dawai mata punai – lebih kurang 7 kaki lebar… x3 bahagian
- Tisu (sebanyak yg boleh) sila beli di kedai RM2.12 sebab anda akan dapat 3 bungkus. Kami spend lebih kurang RM 24 untuk mendapatkan 36 bungkus tisu.
- Kayu pancang – ikut lebar dawai mata punai contoh 7 kaki
- Paku simen – sekurang-kurangnya 3 batang
- Paku kecil 2 inci – sekurang-kurangnya 30 batang
ALATAN/KELENGKAPAN YANG LAIN :
- Paku tekan – jika perlu
- Kertas keras – jika perlu
- Pentas pelamin – kami guna papan meja yang diubah suai menjadi pentas
- Kain langsir – beli dikedai kain, sila recce harga jangan main beli. Anda boleh dapat harga semurah rm3/meter. Untuk saiz pelamin diatas, kami menggunakan 20 meter kain.
- Karpet bulu – kami guna karpet yang sama untuk servis photobooth Vv
- Bunga hiasan – recycle bunga dalam rumah. Jika perlu, beli setangkai yang ada 5 kuntum bunga. Kami beli 10 tangkai pada harga RM3.50/tangkai.
- Bunga telur – ikut suka.
- Lampu pendafloor – dua batang
- Kerusi pelamin – tambahan RM100 untuk sewa kerusi setelah ambil pakej mak andam. Tahukah anda, beli kerusi pelamin baru mencecah 2k? Huh.
- Hiasan lain yang bersesuaian dengan cita rasa pelamin impian
- Alatan menghias seperti gam tembak, gunting, pita pengukur, pembaris dan lain-lain.
Nota kaki:
*** Perlu diingatkan supaya melakar terlebih dahulu pelan pelamin dan dekorasi untuk mengelakkan pembaziran belian barang dan ruang yang akan digunakan. Lakaran juga membantu anda menjimatkan masa. Masa itu emas.
*** Untuk memaksimumkan penjimatan, gunakan barang sedia ada dirumah. Pastikan jika beli baru, barang masih akan digunakan walaupun majlis telah lama berakhir. Kalau simpan je di stor, kelak nanti mereput buat sarang anai-anai. Hahahaa baru padan muka.
Berikut merupakan gambaran aturan kerja-kerja menghias pelamin DIY menggunakan tisu:
Biasanya dawai mata punai diguna untuk buat reban haiwan ternakan. Vv beli segulung terus sebab bakinya boleh buat pagar untuk tanaman sayur mama kami. Sesetengah kedai ada jual per meter, harga lebih kurang RM5/meter. Potong tiga bahagian, setiap bahagian selebar 7 kaki. Cantumkan setiap bahagian menggunakan dawai/tali. Anggaran saiz 6 kaki x 7 kaki.
Pernah jumpa kan tisu berwarna macam ni? Tisu didalam bungkusan selalunya dilipat dua bahagian. Tugas anda ialah buka satu persatu tisu tersebut.
Vv gunakan tisu full putih dan tisu bercorak hijau. Tisu putih lebih tebal, jadi susun tisu sebanyak tiga lapisan. Manakala tisu hijau lebih nipis, perlu susun tisu sebanyak empat lapisan
Setelah susun tisu, poncotkan dibahagian tengah. Sumbat bahagian yang diponcot tadi pada lubang dawai mata punai. Kiraan jarak adalah sejauh 5 lubang (melintang) x 3 lubang (menegak). Boleh ubah suai jarak mengikut rimbunan tisu yang anda mahukan.
Vv susun tisu secara melintang. Ini kerana, kami bercadang untuk membuat tona warna dari putih kepada warna semakin menghijau. Caranya, bahagikan dawai kepada empat bahagian.
Bahagian paling atas, susun tisu kesemuanya putih.
Bahagian dua, susun tisu putih-hijau-putih-putih.
Bahagian tiga, susun tisu hijau-hijau-putih-putih
Bahagian bawah, susun tisu kesemuanya hijau
Semakin kembang tisu yang anda poncot, semakin cantik tau. Ohhya, adalah digalakkan melakukan kerja secara berkumpulan supaya cepat siap dan mengelakkan kebosanan okke.
Tempoh masa yang diperlukan untuk menyiapkan dinding tisu sekitar dua jam, jika buat tiga orang, sambil bergurau dan bergosip. Hehehee. Vv bahagikan tugas (a) seorang menyusun tisu (b) dua orang memoncot dan menyumbat tisu ke lubang dawai.
Setelah dua jam, jadilah rupanya seperti permaidani. Serius rasa nak baring atas ni. Bila tisu-tisu ni terkena kipas dan angin luar, beralun-alun.. waduhh cantik sekali.
Kami start buat pelamin pada jam 6 petang khamis, sehari sebelum majlis akad nikah jumaat. Kalau pelamin mak andam, waktu-waktu macam ni dah lama siap dah. Hahahaaa… Sekarang tengah fikir idea nak adjust macam mana. Actually, Vv buat design on the spot. Parahhh…
Kenal pasti lokasi pelamin yang akan anda buat. Vv memilih ruang beranda luar rumah sebab senang orang nak tepung tawar. Lagipun tak bersesak-sesak bahagian dalam rumah. Pencahayaan yang bagus dan terang memberi impak menarik pada gambar.
Lupa nak pesan, mana-mana dinding yang ada tingkap tu, tutuplah guna kertas keras. Sebab… cuba bayangkan tengah sanding malam, tetiba ada orang buka lampu kat bilik sebelah. Tak ke mengganggu tabir pelamin tu. Kot center takpe la, ni sebelah je berlampu. Haha
Guna paku simen untuk lekatkan kayu panjang terus pada dinding simen. Ketuk paku kecil sebanyak yang mungkin sepanjang kayu tersebut. Paku kecil juga mengurangkan risiko kerosakan pada dinding kerana ia hanya melekat pada kayu sahaja. Jarak setiap paku adalah seinci. Jangan paku selari untuk mengelakkan kayu terbelah dua. Tidak mengapa paku atas bawah sebab dawai punai kan banyak lubangnya.
Beberapa paku turut di letak secara menegak untuk mengelakkan dawai dibahagian tengah melengkung. Lebih kemas jika melekap terus dan tidak berbuai. Angkat perlahan dawai penuh tisu dan sangkutkan pada paku tadi.
Pastikan- kemasan dawai kiri dan kanan diletak secara tegang hingga ke hujung. Buat ujian gegaran untuk memastikan dawai terlekat kemas dan tak bergoyang. Hal ini untuk mengelakkan ia jatuh semasa hari kejadian. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Heheheee
Design pelamin lebih mudah jika latar belakang pelamin sudah siap. Tambahkan pencahayaan dengan meletak lampu pendafloor di belakang bawah pentas. Bahagian depan pentas, cukup sekadar ditutup dengan karpet.
Pelamin siap tengah malam diiringi bunyi mercun sana sini. Sekali sambut malam tahun baru 1.1.2016. Nervous tunggu hari esok, hari menjadi isteri kepada seseorang.
***************************
Pelamin DIY guna tisu sangat jimat dan sedap mata memandang. Bajet yang diperlukan sekitar RM200 termasuk sewa kerusi. Dah siap majlis, guna semula langsir buat alas meja, sarung bantal dan lain-lain. Bunga hiasan boleh guna semula untuk dekorasi ruangan dalam rumah. Tisu tadi pula kumpulkan letak dalam kotak, boleh guna semula lepas orang sudah makan. Pakai sampai habis. Hehehee
***************************
Lampiran: