Beza Cina Semenanjung dan Sarawak – Ridhuan Tee Abdullah

Beza Cina Semenanjung dan Sarawak – Ridhuan Tee Abdullah

 

SOKONGAN Cina Sarawak kepada pasukan Adenan bukanlah satu perkara yang mengejutkan. Apatah lagi jika bulan dan bintang ditawarkan. Jadi tak payahlah MCA dan Gerakan mencanangkan, jika mahukan sokongan Cina Semenanjung maka ikutilah cara Adenan.

Itu ultra kiasu namanya. Sejarah Tanah Melayu ternyata berbeza dengan sejarah Sabah dan Sarawak. Pembentukan Malaysia 1963 adalah satu rahmat yang perlu dihargai. Dahulu disebut Semenanjung merujuk Malaysia Barat, manakala Sabah Sarawak, Malaysia Timur.

Demi kesepaduan, diubah kepada Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Cantik. Pun begitu budaya politik antara keduanya masih berbeza. Kalimah ALLAH dan Bible Melayu tidak sensitif di Sabah Sarawak, tetapi tidak di Semenanjung.

Budaya politik Semenanjung, memerlukan kita memahami hati budi Melayu, kerana Melayu adalah majoriti. Sedangkan di Sarawak tiada kaum yang majoriti, maka semua diraikan.

 

Beza Cina Semenanjung dan Sarawak - Ridhuan Tee Abdullah

Beza Cina Semenanjung dan Sarawak – Ridhuan Tee Abdullah

Sarawak sangat terdedah kepada diversiti dan perlu dihormati. Sebahagian ultra kiasu Semenanjung tidak demikian sifatnya. Terlalu perkauman. Sebab itu, mereka begitu marah kepada Cina Sarawak kerana menolak ultra kiasu. Sehingga mencetuskan pergaduhan di alam siber.

Ultra kiasu tidak pernah puas. Mereka terus menekan mahukan Malaysia bertambah liberal, moderate dan laksanakan sama rata sama rasa.  

Akhbar dan laman web mereka sering mengutuk mereka yang tidak sehaluan. Editor ultra kiasu akhbar BI minggu lalu tidak semena-mena mengutuk saya, walaupun tema artikelnya berkaitan makanan dan buah-buahan Malaysia. Alahai! rindu sungguh beliau pada saya. Terima kasihlah.

Terbaharu, MCA amat yakin bahawa kerajaan akan mengiktiraf UEC, Sijil Sekolah Persendirian Cina mengikut jejak Sarawak. Bercanggah dengan kenyataan KPT, yang berulang kali mengatakan UEC tidak diterima pakai selagi tidak selari dengan kurikulum kebangsaan seperti terkandung dalam Akta Pendidikan 1996.

BM dalam UEC juga tidak setara dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan liputan sejarah negara dalam kurikulum sijil berkenaan juga tidak mencukupi.

Mereka cukup seronok jika BM tidak dimartabatkan sebaliknya bahasa lain. Sebab itu. Kerajaan Sarawak hendaklah mengkaji semula keputusan lebih mengutamakan BI supaya tindakan itu tidak meruntuhkan pembinaan negara bangsa.  

Pemimpin perlu mendahulukan proses pembinaan negara bangsa, perpaduan dan identiti negara berbanding kepentingan politik. Jika tidak,  tidak mustahil ia akan membuka ruang untuk tuntutan supaya bahasa lain menjadi bahasa rasmi sedangkan ia jelas bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Malaysia.

Ultra kiasu sudah lama mendesak agar BI digunakan sebagai bahasa di Parlimen dengan merujuk kepada Artikel 161 Perlembagaan Malaysia mengenai hak ahli Parlimen Sabah dan Sarawak untuk berucap dalam BI di Parlimen.

Perkara 18 & 20 yang dipersetujui ketika Sabah Sarawak membentuk Malaysia hanya memberi kelonggaran kepada Borneo mengekalkan BI selama 10 tahun. Perkara 161 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan selepas 10 tahun pembentukan Malaysia, iaitu pada 1973, penggunaan BM secara automatik berkuat kuasa di seluruh Persekutuan Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.

Pemimpin politik di negara ini seolah-olah tidak serius dalam membina negara sehingga tidak dapat menerima perkara yang menjadi asas bersama. Sudah hampir 60 tahun merdeka, tetapi kita terkapai-kapai mencari jati diri dalam membina negara bangsa kerana terlalu banyak berpolitik.

Kepada pimpinan Umno, jangan kerana laparkan undi, maka kita korbankan semua perkara asas berkaitan jati diri negara. Pendidikan negara sudah sangat caca-marba, termasuk DLP. Sekolah swasta berada di luar kawalan. Subjek Sejarah sudah tidak berteraskan sejarah negara. Sekolah swasta bebas mengajar sejarah apa dia suka. Pergilah tengok.

Kenapa susah sangat nak melahirkan rakyat Malaysia seperti Poh Cheong, yang mencintai seni tari Melayu; Chua Yung Qi, suka menyanyi lagu Melayu, di Kota Tinggi; Teo Xiong Kun, yang fasih loghat “den seleso cakap noghori”; Tan Jun Luan dipanggil Kak Intan di Terengganu dan Yee Xiang Yun, Johor Bahru, pandai tulis dan baca jawi. Semua berita ini ada dalam laman sosial Sinar Harian. Bacalah.

Saya tidak nafikan faktor Adenan membantu BN menang besar. Sejauh manakah faktor Adenan mampu bertahan? Sama-sama kita nantikan. Semangat kenegerian yang berlebihan tidak baik untuk pembangunan negara bangsa. Sifat ini tidak sesuai dengan Islam. Sebagai negarawan kita perlu utamakan Perlembagaan yang menjadi paksi pemerintahan, bukannya sifat kenegerian.

* Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Felo Utama, INSPIRE dan Penyarah PPI, UniSZA

Sumber : Sinar

Post a Comment

Previous Post Next Post