Heroin Hijabsta Ballet, Puteh Maimun Zahra bertudung dalam filem tapi belum bersedia bertudung di dunia sebenar

Memperjuangkan hijab dalam filem bukan alasan bagi pelakon baharu, Puteh Maimun Zahra untuk berhijab di dunia sebenar.

puteh maimun zahra

Tuntut hijab dalam filem, pelakon baharu belum sedia bertudung

Teraju utama filem Hijabsta Ballet berkata hijab merupakan urusan peribadi dengan Tuhan dan Allah lebih mengetahui apa yang ada dalam hati manusia.

“Saya berasa setiap wanita cantik sama ada berhijab atau tidak. Ia merupakan simbol umat Islam.

“Saya gembira mereka [wanita berhijab] sangat bangga dengan agama kita dan sangat berani tampil dengan cara istimewa mereka.

“Walau apa pun, Allah tahu apa dalam hati kita. Saya berasa, apa jua yang kita lakukan atau bagaimana penampilan kita (hijab atau tidak) itu antara kita dengan Allah,” katanya kepada ProjekMMO.

Memegang watak Adele, Puteh Maimun diberi tugas berat memperjuangkan keberanian penari balet dalam usaha mengenakan hijab namun mendapat tentangan orang sekeliling.

Filem arahan Syed Zul Tojo ini turut menampilkan Aida Khalida, Betty Banafe, Aman Graseka dan barisan pelakon muda berbakat.

Puteh Maimun Zahra, 20, berkata walaupun 70 peratus dalam filem menampilkan dirinya bertudung namun di dunia sebenar, dia mahu menjadi diri sendiri.

“Buat masa ini, saya secara peribadi belum bersedia menjadikan hijab sebagai gaya hidup.

“Insya Allah, satu hari nanti bila mental dan rohani saya bersedia, mungkin saya akan memakainya,” katanya.

Guru tari ini berkata, walaupun pada mulanya kekok memakai tudung untuk jangka masa lama namun fesyen itu tidak asing kerana pernah bertudung ketika menghadiri kenduri.

Katanya, balet dan hijab merupakan dua dunia terpisah namun tidak mustahil ia dapat disatukan pada masa depan.

“Jika seorang sahaja berhijab mungkin memberi perhatian salah kepada penari namun jika semua berhijab dan tidak kelihatan canggung, segalanya mungkin.

“Apa pun dunia sedang berubah sedikit demi sedikit,” kata gadis kacukan Cina mamak ini.

Pertama kali di layar perak, Puteh Maimun mengakui sedikit gementar namun memberanikan diri mencuba sesuatu yang baharu.

Katanya, memegang watak Adele satu penghormatan kerana pada mulanya hanya terfikir untuk melakonkan watak sampingan dalam filem berkenaan.

“Sebenarnya saya menyertai sesi pemilihan pelakon dengan harapan dapat tempat sebagai penari latar sahaja.

“Dua hari selepas itu, saya menerima panggilan telefon dan ditawarkan watak utama membuatkan saya rasa teruja.

“Dulu saya rasa tidak boleh berlakon, cuma boleh menari. Bila cuba berlakon, saya pun tidak tahu sama ada saya boleh buat atau tidak tetapi saya dapat maklum balas yang baik dari pengarah dan rakan-rakan lain,” katanya teruja.

 

Sumber: Projek MMO



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post