Kerana lama menyepi dari bidang nyanyian, Azharina dimaki peminat

Penyanyi, Azharina Azhar, mengaku dirinya dimaki hamun oleh peminat di laman sosial berikutan dirinya yang seakan-akan menyepi daripada dunia hiburan.

Mereka turut berbuat demikian apabila bekas juara Bintang RTM 2001 ini sudah agak lama tidak muncul bersama album mahupun lagu baharu.

Kerana lama menyepi dari bidang nyanyian, Azharina dimaki peminat

Kerana lama menyepi dari bidang nyanyian, Azharina dimaki peminat

Justeru, bagi peminat yang menunggu-nunggu kemunculan penyanyi Elegi Sepi ini, aksinya akan kembali dapat disaksikan apabila beliau bersaing dalam rancangan realiti Gegar Vaganza musim ketiga (GV3).

Pengumuman barisan peserta musim baharu program terbabit dilakukan petang tadi, di sini.

“Memang ada peminat memaki hamun saya di laman sosial. Sesetengah peminat bukan hendak bertanya, sebaliknya begitu geram kerana mereka melihat saya seperti tidak lagi mahu menyanyi. Mereka turut membandingkan diri saya dengan segelintir artis yang kononnya tidak boleh menyanyi dengan baik,” katanya.

Ditanya mengenai pendekatannya berdepan dengan komen keterlaluan sebegitu, beliau berkata, dirinya bertindak untuk tidak membalas kata-kata sedemikian.

“Saya tahu, sekalipun komen itu nampak ganas, mereka sebenarnya sayangkan saya. Mungkin kerana terlalu lama menunggu produk baharu nyanyian saya, ada yang sanggup lepas geram dengan memberikan komen sebegitu. Begitupun, memang saya tidak membalas komen seperti itu.

“Saya sayangkan peminat. Saya hanya membaca komen terbabit dan kadang kala tergelak sendirian. Sampai ke tahap itu peminat saya boleh buat,” katanya.

Bukan berdiam diri, sebaliknya sejak kira-kira sedekad lalu, Azharina terbabit dengan kerja di belakang tabir penerbitan program dokumentari selain menguruskan beberapa syarikat miliknya. Sebahagian daripada dokumentari dihasilkan syarikatnya pula ditayangkan pada peringkat antarabangsa.

Mengenai pembabitannya dalam GV3, Azharina memberitahu, sebelum ini beberapa kali beliau ditawarkan untuk menyertai rancangan berkenaan, namun hanya kali ini dirinya memberikan persetujuan.

Beliau turut berkata, keputusan untuk kembali mewarnai persada seni, tahun ini, berikutan anak tersayang, Rahmat Azharin Aziz, sudah berusia dua tahun.

“Penyertaan dalam GV3 dan kemunculan kembali ini adalah hadiah untuk diri sendiri dan anak tersayang. Saya dan anak sama-sama sukakan muzik serta seni.

“Selain itu, saya juga melihat senario penyanyi sekarang menyanyi atas paksi perniagaan dan duit semata-mata. Saya pula menyanyi kerana minat, selain ingin membuktikan bakat dan kredibiliti.

“Sebelum ini, saya sering dilabel sebagai penyanyi lagu melankolik, jadi menerusi GV3 saya ingin menonjolkan sisi lain juga. Hakikatnya, saya boleh menyanyikan lagu dalam pelbagai rentak,” katanya.

Ditanya mengenai persaingan, Azharina menamakan Sarah Raisuddin sebagai artis yang mampu memberikan cabaran.

“Jika diikutkan, semua yang bertanding pada GV3 mempunyai kekuatan tersendiri. Begitupun saya memang mengagumi bakat Sarah. Kami juga pernah bersaing di pentas akhir Bintang RTM 2001. Cuma rezeki menyebelahi saya ketika itu untuk dinobatkan sebagai juara.

“Sarah penyanyi yang baik dan tahu teknik nyanyian. Saya dan Sarah juga muncul di persada seni pada era yang sama,” katanya.

Kata penyanyi ini lagi, berikutan penyertaannya dalam GV3, beliau menangguhkan dulu pelancaran single baharunya, Sekian Terima Kasih. Selain itu, beliau turut mengetepikan seketika promosi lagu duet bersama artis pertama naungannya dari Indonesia, Rizal Badila, berjudul 1,000 Cinta, bagi memberikan tumpuan kepada program berkenaan.

Sumber: Bharian



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

Previous Post Next Post