Gadis tudung Kelantan, Nur Syahindah gelecek bola jadi tular

Dengan sokongan kuat keluarga, si manis bertudung Nur Syahindah Mohd Kamal tidak disangka-sangka dipilih menyertai pasukan bola sepak wanita Kelantan.

Pelajar 20 tahun ini, bermain sebagai pertahanan kiri, menyertai 24 lagi pemain Kelab Glowing FC dan penampilannya itu menular di media sosial, lapor Harian Metro.

Nur Syahindah Mohd Kamal (kanan, depan) ketika sesi latihan pasukan bola sepak wanita Kelantan. — Foto ihsan Facebook/Nor Azma Ahmad

Meminati sukan itu sejak sekolah, mahasiswi Kolej Poly-Tech Mara di sini mula aktif bermain futsal selepas SPM dan awal bulan lalu mendapat tawaran bermain.

“Tanpa berfikir panjang, saya mencuba dan menjalani latihan, malah lulus ujian sebanyak tiga kali,” katanya kepada akhbar itu semalam.

Berasal dari Kampung Pintu Geng di sini, Nur Syahindah beruntung apabila ibunya, seorang suri rumah, dan bapanya, pensyarah kolej, tidak menghalang kegiatan tersebut.

Pada 30 Disember lalu, ibunya Nor Azma Ahmad yang turut mengiringnya menyertai sesi pemilihan sebagai pemain Kelantan memuatkan foto-foto kegiatannya di Facebook.

“Alhamdulillah, rezeki dia dapat juga jadi pemain bola sepak wanita Kelantan,” coretnya.

Nur Syahindah, anak bongsu kembar, bagaimanapun risau apabila fotonya yang sedang bermain bola sepak tersebar di media sosial itu  beberapa hari lalu. Namun beliau tidak akan hilang tumpuan.

 

Sumber: Projek MMO



Sumber Gadis tudung Kelantan, Nur Syahindah gelecek bola jadi tular

Post a Comment

Previous Post Next Post