Rakan bakal ibu mertua ingatkan Siti Saleha jangan biadap macam dalam drama 7 Hari Mencintaiku

Pelakon Siti Saleha pernah diingatkan agar tidak menjadi menantu biadap seperti watak yang dibawanya dalam drama 7 Hari Mencintaiku.

Siti, 27, berkata peringatan itu dilontarkan rakan bakal ibu mertua semasa majlis pertunangannya hujung November lalu.

Siti Saleha berkata kejayaan 7 Hari Mencintaiku turut disokong ahli keluarga yang menjadi penonton setia drama petang hari itu. ― Foto-foto oleh Choo Choy May

“Masa bertunang ramai kawan-kawannya cakap, pastikan saya tidak buat begitu kepada bakal mertua.

“Saya cakap tidaklah [begitu] kerana ia cuma watak saja. Saya menerimanya sebagai satu usikan,” katanya kepada ProjekMMO.

Adik vokalis kumpulan Bunkface ditemui media di majlis meraikan kejayaan drama 7 Hari Mencintaiku di sini malam tadi.

Ditayangkan di slot Akasia TV3, drama itu mencatatkan jumlah tontonan paling tinggi seramai 12 juta orang semasa episod akhir.

Siti memegang watak Mia Adriana, seorang gadis bandar yang cantik namun ego dan biadap kepada ibu mertuanya.

Mia terpaksa bernikah dengan pemuda desa selepas tunangnya melarikan diri pada hari perkahwinan.

Sikap biadap Mia kepada suami dan ibu mertua berubah selepas hampir dibunuh bekas tunangnya.

Drama 28 episod itu turut dijayakan Shukri Yahaya memegang watak suami Mia Adriana, Liza Abdullah (ibu mertua), Aman Graseka dan Wan Sharmila.

Siti berkata kejayaan 7 Hari Mencintaiku turut disokong ahli keluarga yang menjadi penonton setia drama petang hari itu.

“Bakal ibu mertua saya tengok. Dia memang sokong dan tengok setiap episod. Ayah saya rekod drama itu.

“Kakak saya yang tidak pernah menonton drama Melayu pun berkata ia lain daripada yang lain dan plotnya menarik,” katanya.

Bercerita tentang perkahwinan, Siti berkata hari bahagianya bersama Lutfi Azhar akan dilangsungkan selepas Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, Lutfi yang juga seorang pegawai kerajaan tidak menghalangnya untuk terus berlakon selepas mendirikan rumah tangga.

“Dia amat menyokong dan tidak menghalang sama ada berlakon atau tidak. Tetapi saya rasa itu pilihan saya sendiri.

“Saya kena pandai tengok. Kalau ada rezeki masuk, alhamdullilah. Kalau ada telefilem saya boleh ambil.

“Tetapi kalau drama lima atau enam bulan penggambaran, mungkin tidak. Jadi saya kena pandai pilih,” katanya.

 

Sumber: Projek MMO



Sumber Rakan bakal ibu mertua ingatkan Siti Saleha jangan biadap macam dalam drama 7 Hari Mencintaiku

Post a Comment

Previous Post Next Post