RoS: PPBM hanya ada ‘Pemuda’, tiada ‘Armada’

Armada adalah suatu yang tidak sah serta tidak diiktiraf RoS dan berdepan risiko pembatalan parti PPBM.Armada adalah suatu yang tidak sah serta tidak diiktiraf RoS dan berdepan risiko pembatalan parti PPBM.PUTRAJAYA, 17 Nov ― Kenyataan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung istilah ‘Armada’ dibuat berdasarkan rujukan perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sendiri yang hanya menunjukkan kewujudan istilah ‘Pemuda’ dan bukannya Armada, kata Ketua Pengarahnya Surayati Ibrahim.

Sehubungan itu, katanya, Armada adalah suatu yang tidak sah serta tidak diiktiraf RoS dan berisiko berdepan tindakan serius ke atas PPBM dan pucuk pimpinan parti termasuk pembatalan pendaftaran parti.

Surayati dalam kenyataan sebelum ini dilaporkan berkata penggunaan istilah yang tiada dalam perlembagaan parti boleh menyebabkan pendaftaran sesebuah pertubuhan dibatalkan mengikut Akta Pertubuhan 1966.

“Isu Armada adalah sangat  serius dan dilihat tidak menghormati Akta Pertubuhan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau turut memberi amaran bahawa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang memanipulasi isu tersebut dan membuat tuduhan tidak berasas terhadap RoS.

Dalam pada itu, beliau berkata menurut  perlembagaan PPBM yang berdaftar dengan RoS, Fasal 28 mengenai pindaan perlembagaan iaitu 28.1 menyebut “apa-apa pindaan ke atas Perlembagaan PPBM perlu dipersetujui oleh tidak kurang daripada dua pertiga perwakilan yang hadir pada persidangan agung tahunan atau persidangan perhimpunan agung khas”.

Beliau berkata ia berkait dengan PPBM sendiri yang masih belum mengadakan mesyuarat agung tahunan walaupun telah setahun ditubuhkan.

Beliau berkata walaupun Setiausaha Agung Khas PPBM menerusi kenyataan media menyatakan parti itu telah mengadakan persidangan perhimpunan agung khas pada 2 Nov 2016, penelitian RoS terhadap minit mesyuarat tersebut mendapati hanya 12 anggota Majlis Pimpinan Tertinggi yang direkodkan hadir.

Menurutnya, RoS ada menerima permohonan untuk menangguhkan mesyuarat agung tahunan PPBM, tetapi semakan ke atas perlembagaan parti itu mendapati tiada apa-apa fasal atau peruntukan yang membolehkan mereka menangguhkan mesyuarat tersebut.

“Kesalahan bagi tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan merupakan sesuatu yang sangat serius kerana telah melanggar perlembagaan PPBM sendiri yang boleh menyebabkan pembatalan pendaftaran parti itu.

“Pucuk pimpinan PPBM perlu tahu bahawa perlembagaan parti dan juga undang-undang berkaitan pertubuhan adalah sesuatu yang sangat serius, malah pernah terjadi pada 1988 di mana Umno telah diharamkan kerana melanggar perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan,” katanya. ― Bernama



Sumber RoS: PPBM hanya ada ‘Pemuda’, tiada ‘Armada’

Post a Comment

Previous Post Next Post