Anak, menantu Man Kidal dan rakan didakwa salah guna wang

Anak dan menantu pemuzik Man Kidal serta rakan mereka didakwa di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan menyalahguna wang RM30,000. ― Paparan skrin GoogleAnak dan menantu pemuzik Man Kidal serta rakan mereka didakwa di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan menyalahguna wang RM30,000. ― Paparan skrin GooglePETALING JAYA, 17 Nov ― Anak dan menantu pemuzik Man Kidal serta rakan mereka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan menyalahguna wang RM30,000, milik seorang juruteknik yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat mereka, tahun lepas.

Anak Man Kidal iaitu Mohd Shefflee Rahman, 33, menantu, Shireen Amani Lucia Lerang, 30 dan rakan mereka, Amirullah Basarullah, 49, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Nurulhuda Zakariya.

Mohd Shefflee  atau Elly adalah pengurus syarikat pelaburan iaitu Global Tijari Industries Sdn Bhd.,manakala isterinya Shireen Amani Lucia dan Amirullah adalah pemilik syarikat tersebut.

Mereka, yang didakwa secara berasingan itu, dituduh menggunakan wang tersebut milik Mohd Shahrizal Mohamad Jaapar, 37, yang dimasukkan ke dalam akaun Global Tijari Industries.

Kesemua mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Klang, Puchong, dekat sini, pada jam 6.02 pagi, 27 Jun 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum lima tahun dengan sebatan serta denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norazalina Razali menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka, yang diwakili peguam, Mohd Yusri Mohd Yusoff merayu jaminan rendah dengan alasan mereka tidak mempunyai pendapatan tetap manakala Shireen Amani Lucia  pula mempunyai bayi berumur tujuh bulan yang masih menyusu badan.

Mahkamah membenarkan setiap seorang tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 18 Dis ini bagi sebutan semula kes.

Difahamkan mereka gagal membayar jaminan tersebut dan ditahan di  Penjara Sungai Buloh dan Penjara Kajang. ― Bernama



Sumber Anak, menantu Man Kidal dan rakan didakwa salah guna wang

Post a Comment

Previous Post Next Post