Dimasukkan ke hospital akibat mengalami kecederaan, namun bertemu dengan beberapa pesakit yang aneh ketika sedang mendapatkan rawatan, tentunya suatu situasi yang sangat menyeramkan.
Itulah cerita yang ingin ditampilkan dalam filem terbaharu berjudul CCTV, sebuah filem bergenre seram yang akan menemui penonton tidak lama lagi.
Biarpun sudah terlalu banyak filem bergenre sedemikian yang sudah ditayangkan di pawagam, namun filem CCTV terbitan syarikat produksi Cinemaya Studios Sdn. Bhd. dan Victory Film Production Sdn. Bhd. ini pastinya memberi kelainan yang tersendiri.
Filem CCTV arahan pengarah Daven R. ini bermula dengan kisah mengenai seorang lelaki, Hariri yang bekerja sebagai seorang juruteknik televisyen litar tertutup (CCTV).
Pada satu malam, Hariri telah mendapat panggilan daripada ketuanya dan diarahkan untuk membaiki kerosakan CCTV di sebuah hospital lama. Walaupun berasa berat hati, namun dia terpaksa akur dengan arahan ketuanya itu.
Ketika sedang membaiki CCTV yang rosak di hospital berkenaan, nasib Hariri agak kurang baik apabila dia tiba-tiba terjatuh dan pengsan serta mengalami kecederaan apabila kakinya patah.
Kemudian, apabila dia sedar ketika mendapatkan rawatan di hospital lama berkenaan, dia berhadapan dengan beberapa kejadian aneh yang berlaku.
Antaranya, dia bertemu dengan seorang lelaki buta yang pelik, seorang gadis kecil yang terbakar, seorang wanita Cina yang sedang sarat mengandung serta seorang doktor gila yang mengendalikan hospital berkenaan dengan caranya tersendiri.
Bagaimanapun, keanehan yang berlaku sepanjang dia berada di hospital berkenaan akhirnya terbongkar setelah Hariri melihat sendiri rakaman CCTV tentang kejadian yang berlaku di hospital itu.
Ternyata rakaman daripada CCTV itu mendedahkan bahawa semua orang yang berada di dalam hospital. Akibat panik setelah melihat rakaman tersebut, Hariri lantas melarikan diri dari hospital namun dia sekali mendapat kejutan. Apakah kejutan berkenaan?
Filem yang menelan kos sebanyak RM1.5 juta ini akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 30 Julai ini.
Selain itu, sesuatu yang menarik tentang filem CCTV ini juga apabila ia menampilkan pelakon Aeril Zafrel sebagai watak utama yang memainkan peranan sebagai Hariri. Malah, ia merupakan kali pertama dia berlakon dalam filem bergenre seram sejak mula berkecimpung sebagai seorang pelakon pada tahun 2010.
Selain itu, filem ini turut diperkuatkan lagi dengan penampilan beberapa pelakon lain seperti Hasnol Rahmat dan Asliza Abdullah serta seorang pendatang baharu, Ardel Aryana.