KUALA LUMPUR: Pengguna media sosial Facebook semalam dikejutkan dengan sebuah video yang memaparkan keadaan cemas apabila sebuah eskalator yang dipercayai berlaku di pusat membeli belah Setia City Mall, Shah Alam secara tiba-tiba bergerak mengundur.
Akibatnya, sekumpulan pengguna yang menaiki eskalator tersebut kelihatan terjatuh atas satu sama lain.
Rakaman tersebut yang berdurasi selama 1 minit 48 saat dipercayai dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat membeli belah berkenaan.
Susulan itu, ramai pengguna media sosial yang mempersoalkan tahap keselamatan di pusat membeli belah tersebut ekoran terdapat pengguna yang mendukung bayi turut jatuh ketika insiden berkenaan.
Sehingga kini, video yang dimuat naik di Facebook Video Viral itu mendapat tontonan lebih daripada 89,510 kali dan dikongsi sebanyak lebih 2, 500.
Bagaimanapun sehingga kini, pihak pusat mmbeli belah berkenaan masih lagi tidak membuat sebarang kenyataan mengenai kejadian terbabit.
Namun, rata-rata pengguna media sosial mendakwa insiden terbabit memang berlaku di Setia City Mall, Shah Alam.