Selepas lebih 80 gegaran susulan dan yang terakhir dapat dirasai di Kota Kinabalu, penduduk Sabah mula risau akan gempa lebih kuat akan berlaku tidak lama lagi.
Ahli geologi Sabah, Profesor Dr Felix Tongkul selain menasihatkan penduduk negeri itu supaya lebih berwaspada, pada masa yang sama cuba meyakinkan bahawa tidak ada apa yang perlu dikhuatiri.
“Saya tidak rasa gempa bumi lebih kuat akan berlaku tetapi gegaran susulan ini akan berterusan sehingga suatu tempoh,” katanya kepada The Rakyat Post, hari ini.
Beliau berkata Gunung Kinabalu itu menyebabkan beberapa gegaran susulan yang tidak dijangka berlaku.
“Gunung yang terdiri dari batuan igneus, adalah seperti bongkah batu yang terapung di atas batu-batu sedimen di Banjaran Crocker.
“Batuan igneus ini terkeluar kira-kira tujuh juta tahun lalu disepanjang patahan atau sesar. Gunung Kinabalu dianggap muda dalam skala geologi.
“Gempa bumi mungkin mengaktifkan kembali patahan atau sesar di bawah gunung yang sebelum ini tidak aktif. Gunung yang mengalami ‘gangguan’ ini cuba menstabilkan keadaanya kembali,” terang Felix.
Tambahnya, gegaran susulan mungkin berterusan sehingga beberapa minggu atau lebih kerana menurut pensyarah Universiti Malaysia Sabah ini: “Susah nak cakap sebab kita ada Gunung Kinabalu.”
Felix berkata berdasarkan sejarah, ia mengambil masa sekurang-kurangnya dua dekad untuk gempa bumi berlaku di negeri itu.
Awal hari ini Ranau, yang merupakan pusat gempa pada gempa bumi yang berlaku 5 Jun lalu dilanda gegaran susulan pada 3.5 dan 4.3 magnitud pada jam 10:54 pagi dan 5.33 petang.
Gegaran kedua dapat dirasai oleh penduduk di ibu negeri ini.
- The Rakyat Post