Kenaikan harga tol: Pengguna boleh guna jalan biasa, kata menteri.



Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata pengguna jalan raya boleh memilih untuk menggunakan jalan biasa lain sekiranya mengganggap kenaikan tol terlalu tinggi.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, kenaikan tol yang bakal berlaku adalah munasabah.

"Kami sediakan jalan alternatif kepada mereka sedia bayar dengan kadar premium.

"Bagi mereka yang fikirkannya ia terlalu mahal, mereka ada pilihan untuk tidak gunakan jalan tersebut," kata Abdul Wahid di Putrajaya.

Dalam pada itu, Abdul Wahid juga menegaskan pihak konsesi perlu menjalankan kajian daya saing untuk memastikan sama ada pengguna dapat menerima kadar tol baru yang dicadangkan sebelum ia dilaksanakan.

"Projek ini dicadangkan dan dilaksanakan oleh sektor swasta dan kerajaan kerajaan akan tentukannya berdasarkan keperluan memandangkan kita perlu pertimbangkan memperbaiki infrastruktur pada kos lebih rendah," terang beliau lagi.

Beliau bagaimanapun mengakui dalam kes dengan pengendali terbesar lebuh raya negara, PLUS, kerajaan mempunyai perjanjian dengan mereka untuk mengekalkan kadar tol hingga tahun 2015.

"Sebagai contoh dengan PLUS, terdapat peluang untuk memanjangkan tempoh konsesi dan mengekalkan kadar tol sehingga tahun 2015 dan kami telah lakukannya," kata Abdul Wahid.

Abdul Wahid berkata kenaikan kadar tol yang dijangka berlaku  tidak dapat dielakkan memandangkan perkara itu terkandung dalam perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya.

Desas-desus mengenai kenaikan tol bermula ekoran kenyataan Menteri Kerja Raya bahawa terdapat semakan semula kadar tol pada tahun hadapan dari segi perjanjian antara kerajaan dengan syarikat konsesi lebuh raya.

Sebuah akhbar pula melaporkan kenaikan kadar itu dijangka berlaku antara 30 sen sehingga RM1, tetapi tidak menyatakan untuk jarak perjalanan sejauh mana.

Terdapat 13 lebuh raya yang terlibat dalam semakan semula kadar tol itu.


OLEH MD IZWAN  Published: 16 December 2013 4:17 PM - See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kenaikan-harga-tol-pengguna-boleh-guna-jalan-biasa-tanpa-tol-kata-menteri#sthash.3XE63FjS.dpuf

Post a Comment

Previous Post Next Post