Vokalis kumpulan XPDC, Mael menyifatkan
kegagalan Konsert Rockestra XPDC: Aku Masih Disini yang tertunda lebih
sejam pada malam Sabtu lalu kerana isu bayaran.
Memetik kenyataan di mStar online, Mael berkata, pihak penganjur iaitu DuaLaris Event yang punya angkara kerana enggan menjelaskan baki bayaran yang sepatutnya dilakukan sebelum persembahan berlangsung.
"Sebelum sidang media konsert ini lagi
saya sudah tekankan pada penganjur bahawa saya mahu bayaran penuh
dijelaskan sebelum saya bersama ahli-ahli lain mengadakan persembahan.
"Hampir setiap masa saya tekankan mahu
bayaran penuh sebelum persembahan. Tetapi saya pula dimarahi semula dan
mereka meminta saya nyanyi dahulu baru dapat bayaran.
"Kemudian, apabila saya bertegas mahu
bayaran dijelaskan juga sebelum persembahan, salah seorang daripada
pihak penganjur mencampak duit itu ke lantai di depan orang ramai.
"Ketika itu saya rasa maruah saya dihina
kerana perbuatannya. Tetapi lain pula jadinya apabila orang
berkata-kata kononnya sayalah punca konsert itu gagal.
"Bagi saya, XPDC telah memberikan
persembahan yang terbaik pada malam itu dan kegagalan konsert itu bukan
berpunca daripada saya. Mereka yang melambatkan acara," katanya.
Pada Sabtu lalu, Konsert Rockestra XPDC:
Aku Masih Disini di Stadium Merdeka di sini terjejas apabila vokalisnya
Mael tidak muncul pada waktu dijanjikan.
Meskipun kesemua anggota XPDC iaitu
Eddie (bes), Lola (deram) Izu (gitaris) telah memulakan persembahan
pembukaan di atas pentas, tetapi kelibat Mael tidak kelihatan dan lebih
mengundang kemarahan penonton apabila seorang penyanyi tidak dikenali
menggantikan tempatnya dengan lagu Hidup Bersama.
Kemudian konsert dihentikan selama sejam lebih sehingga membuatkan penonton tertanya-tanya apa yang sedang berlaku.
Dalam pada itu, Mael berkata, dia juga
berasa terkilan apabila acara persembahan konsert dimulakan dahulu tanpa
menunggu dia yang sedang perjalanan ke stadium, berkenaan.