SINGAPURA: Perdana Menteri, Lee
Hsien Loong mengisytiharkan esok sebagai Hari Perkabungan Kebangsaan bagi
mangsa warga Singapura susulan gempa bumi di Sabah. Pejabat Perdana Menteri
(PMO) dalam satu kenyataan, berkata bendera negara di semua bangunan kerajaan
akan dikibarkan separuh tiang.
Sebagai penghormatan, upacara
bertafakur selama satu minit akan dilakukan pada permulaan hari di semua lokasi
Sukan SEA. Lee turut dikatakan berasa dukacita terhadap kematian lapan
rakyatnya dalam insiden gempa bumi di Gunung Kinabalu, Sabah. Mereka ialah
seorang guru dan enam pelajar dari Sekolah Rendah Tanjong Katong yang mengikuti
rombongan sambil belajar sebarang laut termasuk seorang penunjuk arah.
Bagi pihak semua rakyat Singapura,
Lee merakamkan ucapan takziah yang mendalam dan simpati kepada keluarga dan
orang tersayang mereka. "Ketika kami berdukacita atas kehilangan nyawa
ini, kami juga ingin menarik perhatian bahawa mereka sedang berusaha untuk
menghadapi cabaran baharu," katanya. Lee juga merakamkan ucapan terima
kasih kepada semua pihak yang bekerja keras tanpa mengenal penat dalam operasi
mencari dan menyelamat termasuk pihak berkuasa Malaysia, pasukan SAR,
kakitangan hospital, dan sukarelawan yang membantu dalam kejadian ini.
"Kami berharap bahawa ucapan
simpati secara kolektif dan sokongan daripada semua rakyat Singapura akan
memberi ketenangan dan keselesaan kepada keluarga dan orang tersayang
mangsa," katanya. Sekumpulan pelajar dari Sekolah Rendah Tanjong Katong
sebelumnya dilaporkan menyertai rombongan bersiar-siar di Gunung Kinabalu
apabila gempa bumi melanda pada Jumaat lepas.