Sejak akhir-akhir ini populariti Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah melonjak naik ekoran sifat beliau lantang bersuara sehingga sering membuat laporan polis membabitkan pelbagai isu dalam negara.
Malah, Rani Kulup juga berjaya mencuri perhatian khalayak apabila tagline yang digunakannya iaitu #kipidap ('keep it up') seolah menjadi satu fenomena khususnya dalam kalangan pengguna media sosial.
Ternyata, segala gerak geri dan tindakan yang dilakukan Rani Kulup yang mesra menggelarkan dirinya sebagai ayah tidak pernah menghampakan ‘peminatnya’.
Terkini, satu klip video rakaman yang memaparkan aksi beliau sedang memasak juadah untuk berbuka puasa menjadi ‘viral’ di laman sosial.
Menerusi rakaman tersebut, ‘chef’ Rani Kulup menyatakan ingin membuat kejutan kepada peminatnya dan seluruh rakyat negara ini dengan memperkenalkan resepi istimewa yang diberi nama Ketam #Kipidad.
Jelasnya, peminatnya akan berasa bertuah kerana tidak ada mana-mana chef atau tukang masak yang tahu menyediakan resepi Ketam #Kipidap itu.
“Tak da chef-chef yang lain tahu nak masak masakan ini. Kalau mereka nak resepi ini kena jumpa ayah.
“Ayah juga pasti, siapa yang makan masakan ini pasti akan mencarinya (mendapatkan resepi) macam mana nak buat,” katanya dalam rakaman tersebut.
Klip video tersebut berdurasi selama 6 minit 38 saat dirakam oleh sebuah portal berita dalam satu sesi temubual bersama Rani Kulup.