Beberapa jam saja lagi akan berlangsungnya konsert kumpulan sensasi Korea, Big Bang 2015 World Tour Made In Malaysia di Stadium Tertutup Putra Bukit Jalil.
Big Bang yang kini sedang dalam perjalanan ke tanah air dijangka tiba sekitar jam 4.30 petang nanti.
Meskipun pada malam ini, Stadium Nasional Bukit Jalil yang bersebelahan dengan stadium tersebut juga turut bakal berlangsung perlawanan persahabatan antara pasukan Pilihan Malaysia dengan kelab ternama, Liverpool, kehangatan di stadium Putra lebih dulu terasa apabila sebahagian peminat sudah mula membanjiri kawasan konsert.
Malah, ramai peminat juga sanggup bermalam di kawasan tersebut sejak semalam.
Dalam keterujaan peminat menantikan persembahan hari pertama Big Bang hari ini, tercetus isu panas apabila ada pihak yang menyarankan agar konsert tersebut diboikot sekaligus dibatalkan.
Menerusi laman Facebook Persatuan Belia Islam Nasional telah memuat naik status berserta kain rentang agar konsert anjuran IME Production itu segera dibatalkan.
Kempen bantahan tersebut gara-gara timbul kebimbangan sesetengah pihak yang tidak mahu insiden kontroversi sepertimana yang berlaku sekitar Januari lalu melibatkan sebuah kumpulan artis K-pop.
Isu tercetus apabila ada peminat perempuan beragama Islam tanpa segan silu berpelakuan dengan salah seorang anggota kumpulan itu.
Aksi gadis berkenaan menimbulkan kemarahan masyarakat dan menyifatkan kelakuan gadis tersebut sangat memalukan dan langsung tidak bertepatan dengan ajaran agama.
Sementara itu, sejak petisyen kempen Boikot Konsert BigBang itu diwujudkan, seramai hampir 4,000 orang telah mengundi membantah konsert tersebut.
Kempen tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada pelabagai pihak termasuk penyokong kuat kumpulan berpengruh dalam industri muzik Korea itu yang terdiri daripada kalangan peminat tempatan dan antarabangsa.
Ada yang berpandangan tindakan mahu memboikot konsert itu hanya kerana alasan tidak mahu aksi peluk dan cium berulang disifatkan kurang wajar.
Sedangkan ianya bukan acara bertemu peminat tetapi sebuah konsert yang mana artis membuat persembahan 'live' di pentas selama kira-kira 2 jam menghiburkan peminat.
Difahamkan, tiada sesi permainan bersama artis ketika konsert yang boleh membuatkan peminat dapat berada terlalu dekat dengan artis seperti mana yang dikhuatiri mungkin akan terjadi perkara atau insiden buruk yang boleh memalukan masyarakat dan negara.
Sebelum ini ada juga beberapa konsert yang melibatkan artis antarabangsa seperti Adam Lambert (2010) di boikot sesetengah pihak gara-gara artis berasal dari Amerika Syarikat itu mengamalkan hubungan sejenis, LGBT. Bagaimanapun, konsert berjalan lancar.
Begitu juga dengan konsert beberapa artis K-pop yang beberapa kali mendapat bantahan sesetengah pihak kerana tidak mahu tercetus insiden atau kontroversi.
Konsert Big Bang 2015 World Tour Made in Malaysia, buat pertama kalinya di Malaysia akan diadakan selama dua hari iaitu pada 24 dan 25 Julai. Konsert ini dijangka akan menarik ribuat peminat tempatan dan luar negara.