KUALA LUMPUR: Isu membabitkan kapal terbang semakin menarik perhatian khalayak dan media kebelakangan ini, apatah lagi dengan pelbagai tragedi yang berlaku termasuk kes kerosakan enjin dan penumpang yang tidak terkawal.
Satu kes terbaharu berlaku ketika dalam pesawat yang dirakam oleh seorang penumpang penerbangan domestik AirAsia di Thailand.
Difahamkan, penumpang dengan pesawat FD3245 dalam perjalanan dari Bangkok ke Trang pada Rabu lalu berhadapan perangai seorang wanita yang kalut meminta agar kapal terbang yang mereka naiki berhenti sebelum meminta semua penumpang keluar.
Kejadian itu berlaku sejurus pintu kabin ditutup dimana kapal tersebut sedang bergerak perlahan melalui landasan untuk berlepas di Lapangan Terbang Don Mueang.
Kabin kru AirAsia bertanggungjawab dalam mengendalikan situasi ‘cemas’ tersebut, seperti dilaporkan akhbar Thai, Thairath.
“Hentikan penerbangan! Perlukah saya merujuk kepada undang-undang? Semua orang keluar! Anda akan tahu kenapa!” kedengaran wanita itu menjerit dalam bahasa Siam dalam rakaman video tersebut yang dimuatnaik di YouTube beberapa hari lalu dan ditonton sebanyak 225,000 kali.
Namun, tiada seorang penumpang kelihatan panik melihat keadaan wanita berkenaan dan menyangkakan dia mengalami sakit jiwa.
Dalam rakaman tersebut, kabin kru dilihat cuba mengendalikan situasi berkenaan sebelum seorang teman kepada wanita itu muncul dan membawa dia kembali ke tempat duduk.
Kekecohan tersebut telah menyebabkan kelewatan selama sejam kerana wanita tersebut dan temannya itu harus dikeluarkan sebelum kapal boleh berlepas semula.