Anak Bekas Presiden Pas Menyertai Harapan Baru


"Saya warisi perjuangan asal politik ayah," demikian luah anak bekas Presiden Pas Datuk Fadzil Mohd Noor, Faiz Fadzil yang kini menyertai Harapan Baru sebagai wadah baru perjuangan politiknya.
Memegang jawatan sebagai Exco Pemuda Harapan Baru, Faiz berkata beliau hanya muncul dalam politik selepas 10 tahun kematian ayahnya, dan ayahnya tidak pernah menempatkannya di mana-mana jawatan dalam Pas.
"....Sebab itu saya akan bergerak dalam parti baharu yang memangnya tidak mewarisi posisi kepimpinan tetapi mewarisi perjuangan dan dasar yang ingin dibawa oleh ayah saya," katanya ketika ditanya oleh hadirin mengenai konsep 'warisi kepimpinan' ketika menjadi panelis dalam program Wacana Sinar Harian Siri ke-36 yang bertajuk: Kuasa Politik Baharu, Apa Anak Muda Mahu di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.
Dalam pada itu ketika mengulas lanjut mengenai parti baharunya, Faiz berkata Harapan Baru bersikap terbuka dan bersedia untuk berdiskusi dengan mana-mana pihak.
"Kita akan bawa idea baru anak muda Malaysia dan bersedia untuk berbincang dengan mana-mana pihak tanpa mengira pegangan politik mereka," katanya.
Previous Post Next Post