BEBERAPA objek dan serpihan yang ditemui sejak minggu lalu yang dikaitkan dengan kehilangan pesawat milik Penerbangan Malaysia (MAS), MH370 yang hilang pada Mac tahun lalu dilihat seolah memberi harapan baharu khususnya kepada keluarga mangsa untuk merungkai misteri kehilangan pesawat tersebut.
Terbaharu, seorang peguam, Creissen Philippe yang tinggal di sekitar Pulau Reunion, dekat Perancis semalam memaklumkan menemui tiga botol plastik minuman ketika berjalan di pantai berhampiran rumahnya di pulau tersebut.
Beliau sempat merakam gambar imej botol minuman tersebut dan memuat naik di laman sosial Twitter miliknya, @creissen dengan menyatakan ia ditemui sekitar lokasi yang sama, pagi Selasa.
Mengulas mengenai penemuan tersebut, Creissen ketika ditemuramah akhbar Australia menyatakan dua daripada botol minuman tersebut adalah berjenama Malaysia, manakala satu lagi berlabel Taiwan.
"Saya berjalan di sepanjang pantai ini sepanjang masa dan 99 peratus daripada serpihan itu ditemui datang dari Reunion.
“Saya sering berjalan di pantai ini. Pada hari kejadian saya ternampak botol plastik air minuman buatan asing lalu teringat serpihan serta barang yang dikatakan dari pesawat Boeing 777 ditemui di pulau ini,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Menerusi gambar yang dikongsi, ia jelas menunjukkan jenama air mineral yang sinonim dijual di Malaysia iaitu ‘Cactus Mineral Water’.
Menurut Creissen, dia telah menyerahkan botol itu kepada pihak polis sebelum botol tersebut diserahkan kepada pihak penyiasat Malaysia yang berada di pulau berkenaan untuk menentukan sama ada ia datang dari pesawat MH370 atau sebaliknya.
Sejak penemuan sebuah objek yang dipercayai sayap pesawat ditemui di Pulau Reunion, penduduk setempat mula membanjiri kawasan pantai tersebut dalam membantu pihak berkuasa mencari sebarang objek berkaitan.
Sehingga kini, beberapa objek yang didakwa mempunyai kaitan dengan MH370 ditemui antaranya sayap yang dikenali sebagai ‘flaperon’ dan juga sebuah tangga domestik.