Pamer Pelekat #TangkapNajib Boleh Dipenjara 2 Tahun


KUALA LUMPUR: Mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang termasuk mempamerkan pelekat yang dipercayai mempunyai unsur hasutan boleh ditahan dan bakal berdepan hukuman penjara serta denda.
Perkara tersebut ditegaskan Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Roslan Bek Ahmad berikutan penahanan seorang wanita berusia 31 tahun semalam yang mempamerkan pelekat #TangkapNajib di cermin belakang kenderaannya yang dipercayai boleh membawa hasutan.
Menurut Roslan, anggota peronda mengesan kereta wanita terbabit yang diletakkan di Jalan Kulas sekitar jam 3 petang, kelmarin.
“Pengguna jalan raya lain yang memaparkan pelekat seperti di kenderaan boleh dikenakan tindakan tegas sekiranya didapati melanggar undang-undang,” katanya yang dipetik portal berita, Borneo Post, hari ini.
Menurutnya, berikutan insiden tersebut, wanita terbabit kini disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang mana sengaja mengaibkan, dengan niat mencetuskan pecah keamanan.
Jelas Roslan jika disabit kesalahan, wanita terbabit boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Previous Post Next Post