Sultan Johor Bermain Gambus Menghiburkan Rakyat


Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2015 yang bermula semalam menjadi aktiviti wajib yang sentiasa ditunggu-tunggu rakyat Johor kerana berpeluang beramah mesra dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar secara lebih dekat di samping mengukuhkan lagi hubungan antara rakyat.
Selain rakyat Johor berpeluang mengenali lebih rapat lagi tentang Sultan Ibrahim yang terkenal dengan sifat berjiwa rakyat, kembara ini juga menyediakan beberapa acara menarik yang turut diatur bersama baginda.
Menariknya, sebagai simbolik tiba di Pontian, baginda kelihatan meluangkan masa bermain gambus yang merupakan alat utama muzik ghazal di Johor.
Selain itu, antara permainan traditional yang turut diadakan di Taman Rekreasi Tampok Laut Pontian adalah batu seremban, congkak dan sepak raga bulatan.
Disamping itu, rakyat Johor turut mengambil peluang tersebut merakam gambar termasuk 'selfie' bersama Sultan Johor.
Menerusi beberapa keping foto yang dikongsi di media sosial Instagram dan Facebook rasmi Sultan Johor semalam, baginda memulakan perjalanan kembara menggunakan motosikal berkuasa tinggi di Laman Diraja Pontian.
Turut mengiringi baginda Raja Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail bersama isteri, Che' Puan Khaleeda Bustamam dan puteri sultan, Tunku Aminah.
KMJ siri ke-18 dan diadakan sejak 15 tahun bermula semalam sehingga Khamis ini akan menjelajah ke semua daerah seluruh Johor.
Previous Post Next Post