Selepas menceburkan diri dalam dunia perniagaan makanan Burgerbyte, pengacara dan pelakon Zizan Razak, 31, kini meluaskan lagi empayar perniagaannya dengan membuka kedai serbaneka ZizanMart.
Cawangan pertama kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam yang terletak di Kota Bahru, Kelantan itu telah mula dibuka hari ini.
Zizan yang ditemui pada majlis pelancaran ZizanMart sebentar tadi menyatakan kedai serbaneka miliknya itu menawarkan pelbagai produk keperluan harian pada harga berpatutan.
"Alhamdulillah, ini merupakan salah satu impian saya sejak dulu lagi.
"Saya berharap selepas cawangan sulung ini akan ada lagi rangkaian seterusnya", katanya selaku Pengarah Urusan Zizan Group Sdn Bhd.
Turut hadir pada majlis perasmian tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood.
Zizan merupakan selebriti kedua yang membuka rangkaian kedai serbaneka. Terdahulu, Datuk AC Mizal pernah membuka kedai serbaneka M7.