Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, garis kemiskinan kebangsaan yang ditetapkan kerajaan Pusat pada kadar RM830 sebulan setiap isi rumah tidak realistik bagi negeri Selangor.
Katanya, Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Malaysian Institute of Economic Research (MIER) bagi memastikan garis kemiskinan negeri itu sesuai dengan pendapatan isi rumah di Selangor.
“kerajaan negeri mengambil inisiatif bekerjasama dengan MEIR dalam menyediakan data statistik pendapatan isi rumah Selangor sehingga ke peringkat daerah bagi menentukan garis kemiskinan bersesuaian untuk penetapan garis kemiskinan.
“Maklumat tersebut digunakan untuk mengubal program lebih berkesan dalam menangani berkaitan kemiskinan di pelbagai peringkat masyarakat,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) pada Selasa.
Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ADUN Rawang, Gan Pei Nei berhubungan cadangan kerajaan untuk merapatkan jurang kaya dan miskin di Selangor.
Katanya, ketika ini kerajaan Selangor menetapkan garis kemiskinan seisi rumah pada kadar RM1,500 sementara Kerajaan Pusat menetapkan garis kemiskinan adalah pada kadar RM830 sebulan seisi rumah manakala miskin tegar pada kadar RM520 seisi rumah.
“Namun, jumlah RM 1,500 ini masih gagal mengambarkan realiti sebenar antara kemiskinan bandar dan luar bandar,” katanya.