Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, akan menghantar bil tuntutan pembersihan berjumlah lebih RM65,000 kepada penganjur BERSIH 4.0, dalam tempoh terdekat.
Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata pihaknya sudah membuat pengiraan mengenai jumlah sebenar kos tambahan terpaksa ditanggung kerajaan untuk membersih dan mengutip sampah sarap ditinggalkan peserta Bersih 4 pada Sabtu dan Ahad lalu.
Bagaimanapun, Abdul Rahman berkata, jumlah itu tidak termasuk kos kerosakan harta benda awam yang terpaksa ditanggung Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri lain akibat penganjuran perhimpunan haram terbabit.
"Justeru, saya nasihatkan penganjur Bersih 4, Maria Chin Abdullah, supaya jangan membelanjakan semua wang dikutip kerana mereka perlu membayar kos tambahan untuk membersihkan dan mengangkut sampah sarap ditinggalkan peserta perhimpunan haram itu.
"Tolong jangan belanja habis wang RM1.5 juta berkenaan (sebab) saya fikir nak hantar satu bil kepada penganjur BERSIH pada minggu ini," katanya selepas melancarkan program pelaksanaan pengasingan sisa pepejal di sini, hari ini.
Sebelum ini BERSIH dilaporkan mendapat sumbangan derma dan kutipan daripada jualan kemeja T bernilai lebih RM1.5 juta.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Rahman berkata, beliau kecewa dengan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut serta dalam perhimpunan haram BERSIH 4.0.
Abdul Rahman berkata tindakan Dr Mahathir itu menyebabkan ramai penyokongnya kini mula menjauhkan diri daripada bekas Perdana Menteri itu.
Katanya, tindakan Dr Mahathir itu juga bertentangan dengan prinsip diamalkannya sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri Malaysia.
"Ia tindakan luar jangka daripada negarawan seperti beliau. Ia (menghadiri Bersih 4) adalah keputusan sangat mengecewakan dan saya percaya beliau berbuat demikian kerana terlalu marah ...
"Apabila marah, anda cenderung untuk bercakap sesuatu yang tidak anda maksudkan dengan betul," katanya yang percaya masalah perbezaan pandangan antara Dr Mahathir dan Najib boleh diselesaikan dengan campur tangan pihak ketiga.