Afdlin Cipta Sendiri Helmet Stormtrooper


Pelakon dan pengarah Afdlin Shauki mengakui beliau menjadi peminat tegar filem Star Wars sejak kali menonton filem Star Wars Episode IV: A New Hope.
Selain jalan cerita dan latar filem itu yang menakjubkan, Afdlin juga mengagumi bakat pengarah George Lucas yang berjaya menghasilkan karya mengetengahkan teknologi serba canggih amat mengagumkan.
Bukan itu saja, daya kreativiti Lucas menghasilkan filem luar biasa yang mempunyai peminat tegar di seluruh dunia menjadi inspirasi kepadanya untuk sentiasa berfikir di luar kotak.
Menurut Afdlin, dia sudah berulang menonton semula siri Star Wars lebih 60 kali dan turut memiliki koleksi besar figura karakter serta cenderahati filem itu.
“Koleksi turut termasuk barang terhad, pakaian dan permainan video PS3 Star Wars. Malah, saya juga mempunyai nama Jedi dan adalah anggota Kelab Peminat Star Wars di Malaysia,” katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro.
Sebagai salah seorang peminat tegar filem itu, Afdlin telah dipilih sebagai jurucakap kempen Kempen Mereka Helmet Stormtrooper dan menjadi peminat Star Wars Malaysia pertama memiliki helmet Stormtrooper rekaan sendiri dalam bentuk fizikal.
Stormtrooper antara watak antagonis popular dalam siri Star Wars.
Afdlin berkata, minat itu turut diturunkan kepada ketiga-tiga anak perempuannya.
“Walaupun anak-anak suka kartun feminin seperti Frozen, mereka turut berkongsi minat sama dalam Star Wars selepas saya memperkenalkan Star Wars kepada mereka.
“Malah, mereka turut menonton animasi Star Wars Clone Wars. Pada masa lapang, saya menemani anak-anak menonton animasi itu,” katanya yang menyukai watak Han Solo lakonan Harrison Ford.

Post a Comment

Previous Post Next Post