Bomoh ‘Tarik Duit’ Kena Penjara

KOTA BHARU – Seorang wanita yang mengaku mampu ‘menarik duit dan emas’ daripada khadam dan puterinya, dihukum penjara 30 bulan atas enam pertuduhan memperdaya seorang warga emas, di mahkamah majistret, di sini, hari ini.
Tertuduh, Suzana Yasin, 45, dihukum Majistret, Mohamad Nasrudin Mohamed selepas mengaku salah enam kali memperdaya, Rabiah Salleh (pengadu), 59, dengan keseluruhan barang kemas dan wang tunai bernilai RM28,930, sepanjang 2012 dan 2013.
Pada prosiding itu, tertuduh yang diwakili peguam awam merayu hukumannya diringankan dan mengaku insaf atas kesalahan itu.

“Tertuduh mempunyai dua anak, seorang bersekolah dan akan menjalani peperiksaan tidak lama lagi, manakala seorang lagi baru berusia empat tahun,” katanya.
Kejadian bermula pada awal 2012 apabila pengadu berurusan dengan tertuduh berkenaan tujuan ‘tarik duit dan emas’ dan berjanji akan memberi keuntungan berlipat ganda serta proses menjadi lebih cepat sekiranya pengadu memberi wang dan berang kemas terbabit dengan segera.
Terperdaya dengan tawaran itu, pengadu menyerahkan barangan kemas bernilai RM4,480 di hadapan sebuah kedai emas di Ketereh, di sini, pada jam 3.30 petang, 1 September 2012. Barangan kemas bernilai RM9,700 diserahkan pula di lokasi sama pada jam 3.30 petang, 24 September 2012.
Kemudian pada jam 3.15 petang, 30 September 2012 di hadapan sebuah kedai emas di Kok Lanas, di sini, pengadu menyerahkan lagi barang kemas bernilai RM2,600 dan RM2,550 kepada tertuduh. Pada 9 Julai 2013, jam 1.03 petang, pengadu memasukkan RM8,000 ke akaun tertuduh di Bank Simpanan Nasional Cawangan Kok Lanas, di sini.
Terakhir, pada jam 12 tengah hari, 12 Disember 2013, pengadu sekali lagi menyerahkan barang kemas bernilai RM1,600 kepada tertuduh di hadapan sebuah kedai emas di Kok Lanas, di sini.
Mahkamah mengarahkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan. Tertuduh turut memiliki rekod lampau membabitkan kesalahan sama dan sedang menjalani hukuman di Penjara Pengkalan Chepa, di sini.

Post a Comment

Previous Post Next Post