Walaupun sudah terbukti dia tidak melakukan kesalahan, namun masih ada pihak yang cuba memutarbelitkan kisah penahanannya tempoh hari. Tidak cukup dengan itu, ada juga yang cuba mengaitkan rekod kesalahan lampaunya dengan kes penahanannya itu.
Hal tersebut membuatkan bekas vokalis kumpulan Ukays ini berasa tertekan dan sugul dengan pandangan orang ramai ke atas dirinya.
Memetik laporan Utusan, Amir berkata dia sedikit terkilan memandangkan apa yang dikongsikan itu tidak benar.
“Melihat apa yang viral di laman sosial, memang saya akui sedikit terkilan memandangkan apa yang dikongsikan itu tidak benar. Malah, ada yang mula mengaitkan kisah lampau saya sehinggakan menjatuhkan air muka.
“Sebenarnya, apa yang berlaku adalah proses biasa, saya dibawa pihak berkuasa ke balai dan apabila semuanya sudah jelas, mereka bebaskan saya. Sebagai orang awam saya hormat tanggungjawab yang digalas pihak berkuasa dan saya tidak salahkan mereka,” katanya.
Mengakui tidak mengetahui adalah satu kesalahan untuk memiliki pistol tiruan, kata Amir, dia bagaimanapun lega apabila semuanya kini terbukti dia bukan penjenayah dan tidak melakukan apa-apa kesalahan.
“Saya pegang pada pendirian, kalau tidak salah buat apa mahu takut. Secara jujur, saya juga tidak menyangka perkara ini akan terjadi.
“Sewaktu ditahan, memang saya akui pistol tiruan tersebut bersama saya, bagaimanapun waktu itu saya baru balik daripada melakukan latihan nyanyian di studio, kalau ikutkan saya hanya berada di balai polis kurang 24 jam dan kira-kira pukul 5 petang semalam, saya dibenarkan keluar,” katanya yang selepas ini akan menumpukan kepada penyertaannya dalam program Gegar Vaganza 2.