Bertenang. Jari tengah yang ditunjukkan oleh bintang Bollywood, Kajol, ke arah sekumpulan wartawan bukan bererti aktres itu marah kepada mereka.
Sebaliknya, itu reaksi gurauan Kajol kepada sebilangan pemberita dan jurugambar di India yang menunggu beliau yang sedang melakukan upacara sembahyang Puja Durga di Mumbai, baru-baru ini.
Laporan media antarabangsa menyebut, selepas usai melakukan Puja Durga, Kajol bersama ibu dan sepupunya, Raja Mukerji, keluar dari tempat pemujaan lalu diserbu sekumpulan media.
Sebaik saja melihat Kajol muncul, para wartawan yang ada di sana cuba menarik perhatian heroin filem Kuch Kuch Hota Hai itu dengan meminta beliau menunjukkan jari ke arah mereka.
"Kamu tahu jari yang mana satu akan saya tunjukkan kepada anda semua?" respon Kajol sambil menunjukkan jari tengahnya.
Sambil melemparkan senyuman, Kajol kemudiannya tergelak melihat reaksi pihak media.
Sejurus itu beliau meninggalkan kumpulan wartawan tersebut dan meneruskan aktiviti tahunannya sebagai pemuja Dewi Durga.
Menerusi satu klip video yang tersebar di laman internet, Kajol kembali menemui para media di lokasi pemujaan tersebut.
Namun kali ini beliau tidak mahu terlalu banyak diwawancara tentang perihal dia beribadah, dan meminta para wartawan agar beredar dari lokasi tersebut.
Tindakan Kajol menunjukkan jari tengahnya kepada pihak media tidak membuat para pemberita di India sakit hati. Sebaliknya mereka semua tahu bahwa itu hanyalah gurauan spontan daripada Kajol dan bukannya bentuk penghinaan kepada mereka.
Sementara itu laporan juga menyebut, Kajol baru saja selesai menjalani penggambaran filem Dilwale di Goa, India. Filem tersebut kembali menyatukan semula dia dengan Datuk Shah Rukh Khan, selepas kali terakhir mereka bergandingan menerusi filem My Name Is Khan pada tahun 2010.