Kuala Lumpur: Wanita mangsa pukul beberapa wanita lain di Kelantan yang rakaman videonya ‘viral’ beberapa hari lalu meminta supaya sesiapa yang memiliki video berkenaan tidak lagi menyebarkannya kerana dia menanggung malu, sedih, malah kesan sakit akibat dipukul masih terasa sehingga kini.
Wanita dikenali sebagai Nila, 22, dan mempunyai seorang anak berusia dua tahun itu berkata, dia sedar video berkenaan tersebar meluas, namun tiada apa yang boleh dilakukan melainkan berharap penyebaran video itu dihentikan.
“Sakit kepala memikirkannya. Sakit di kepala juga masih terasa kerana mereka pukul kepala saya.
“Pada masa sama, perut juga masih terasa sakit kerana mereka juga pukul perut saya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tiga bahagian video pergaduhan berkenaan tersebar dengan video bahagian ketiga paling menyedihkan dan mengaibkan.
Tiga daripada wanita berusia 20-an yang membelasah Nila sudah ditahan, manakala dua lagi wanita yang dikenali sebagai Nija dan Mokbiey masih diburu polis.
Kejadian berlaku di Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, 15 Oktober lalu.
Nila berkata, dia kini tinggal bersama ayahnya.
Ditanya adakah keluarganya akan menyaman wanita yang membelasahnya, Nila tidak tahu.
“Saya tunggu semuanya reda dulu,” katanya.
Harian Metro pada Jumaat melaporkan, Nila mendakwa tidak bersalah dalam hal itu, sebaliknya menjadi mangsa keadaan.
“Disebabkan kejadian itu saya takut untuk keluar rumah dan trauma hingga kini,” katanya.
Menurut Nila, dia tiada upaya melawan kembali perbuatan wanita terbabit kerana keseorangan, selain dikeliling ramai rakan wanita berkenaan.
Walaupun teruk dibelasah, ibu anak satu itu bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan teruk, sebaliknya menerima rawatan pesakit luar di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.
“Kes dalam perhatian pihak berkuasa dan saya tidak mahu mengulas lanjut. Saya menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat dan bersyukur mereka ditahan.
“Saya berharap mendapat pembelaan sewajarnya kerana yakin tidak bersalah dalam hal ini. Semua yang terjadi akibat rasa tidak puas hati dan salah faham,” katanya.
Menceritakan kejadian itu, Nila berkata, sebelum insiden, dia dipukul wanita sama pada 13 Oktober kerana rasa tidak puas hati, namun tiada pihak merakam kejadian itu.
“Kerana masih tidak puas hati, dia mencari saya lagi ketika saya ke Wakaf Mek Zainab untuk ke rumah rakan. Ketika itu saya menunggu di dalam kereta dan secara tiba-tiba diheret keluar.
“Mereka pukul saya dengan teruk dan merakam kejadian yang berlaku jam 7 pagi. Saya tak tahu apa yang dia dendam sangat kerana tidak mempunyai hubungan dengan teman lelakinya seperti didakwa.
“Saya juga tidak tahu-menahu mengenai barang kemas yang didakwanya dalam milikan saya. Dia sebenarnya mencari seorang rakan saya di Kuala Terengganu kerana masalah antara mereka,” katanya.