Meskipun menyedari akan persepsi negatif segelintir masyarakat terhadap golongan yang mempunyai masalah kesihatan mental namun bagi pengarah dan pelakon Azma Aizal Yusoof, dia tidak berkecil hati mahupun berasa tertekan dengan stigma tersebut.
Sebaliknya, dia yang mengakui kini masih dalam proses rawatan tetap optimis membuktikan kepada masyarakat bahawa dia mampu bekerja dan menjalani rutin harian serta kehidupan normal.
Malah pengarah dan pelakon berusia 33 tahun ini tidak malu berkongsi pengalaman tentang apa yang dilaluinya sejak disahkan mengidap penyakit tersebut.
"Saya tak sorok dan tak malu mengaku saya 'bipolar disorder'.Sehingga kini saya masih dalam proses menjalani rawatan dan saya makan ubat.
"Saya pernah berkongsi tentang penyakit saya ini kepada 200 orang doktor dalam satu seminar sempena kempen berkaitan 'bipolar disorder'. Saya menceritakan pada mereka pengalaman-pengalaman yang saya lalui daripada saya kecil hingga sekarang.
"Sesetengah masyarakat menganggap orang seperti saya hanya patut duduk dalam rumah saja, dikurung dan sebagainya. Saya tidak salahkan mana-mana pihak jika ada yang beranggapan sebegitu kerana itu adalah stigma dan reaksi mereka terhadap penyakit ini.
"Sejak saya tahu yang saya menghidap penyakit ini, saya sendiri buat kajian. Selain itu, saya mahu tunjukkan pada masyarakat bahwa saya juga mampu bekerja seperti orang lain," katanya kepada Malaysian Digest ketika ditemui di pejabat Suhan Movies Sdn Bhd, pada Rabu.
Dalam pada itu, Azma mengakui insiden dia mengasari pelakon Ika Nabella ketika di set lokasi drama arahannya berjudul Dawai Asmara pada 2 November lalu merupakan satu pengajaran cukup besar dan bermakna dalam hidupnya.
Katanya, sebagai seorang perkarya, setiap kali diberikan tanggujawab mengarahkan satu-satu naskah drama mahupun filem, dia mengambil sepenuh kepercayaan dan tanggungjawab tersebut dan komited dengan kerja-kerjanya.
Ada ketika dia mengajar dan cuba menggunakan pelbagai teknik atau method dalam lakonan terhadap para pelakonnya namun dia tidak menyangka keghairahanya itu dalam menghasilkan karya yang terbaik telah membawa kesan buruk pada pihak lain.
Dalam kejadian berkenaan, Azma telah mengunapakai teknik lakonan sentuhan fizikal yang mana dia bertindak menampar pipi Ika dan memukul bahu aktres itu bertujuan agar Ika mendapatkan mood dan lakonan yang lebih berkesan untuk menghidupkan watak dalam drama tersebut.
Akibatnya Ika mendakwa dia mendapat kecedaraan pada mulut dan tekah membuat laporan polis di Balai Polis Hulu Klang pada hari kejadian.
Pada 13 November lalu Azma mengaku bersalah dan Mahkamah Majistret Ampang menjatuhkan hukuman terhadapnya dan dia dikenakan denda sebanyak RM2000.
"Apa yang berlaku tempoh hari adalah satu lagi bab dalam hidup saya. Ia pengajaran paling besar. Saya bersyukur kerana mujur Tuhan jadikan sekarang, di ketika usia saya 33 tahun. Kalaulah perkara ini berlaku ketika umur saya semakin meningkat ditambah pula pada masa itu saya sudah selesa dengan method ini sedangkan saya tidak sedar, tentu ia memberi kesan yang lebih teruk.
"Sebagai pengkarya, saya masih belajar, saya beli buku dan baca, saya cuba pelbagai teknik dan "method" dan salah satunya sentuhan fizikal. Ada yang berkesan, ada yang tidak. Ada juga sesetengah pelakon yang sudah faham dengan "method" ini bahkan pernah ada pelakon yang meminta sendiri agar saya memukulnya sebelum masuk ke set tetapi saya menolak untuk melakukannya. Namun ada juga pelakon yang tidak faham dengan "method" ini.
""Sewaktu kejadian saya dalam keadaan stabil. Tapi saya akui tindakan saya terhadap Ika adalah satu kesalahan. Saya terlalu ghairah dengan kerja saya. Saya sepatutnya memberitahu terlebih dulu kepada dia mengenai "method" yang akan gunakan kepada dia dan tidak sampai ke tahap mengasarinya," jelasnya yang pernah memenangi gelaran Pengarah Terbaik Anugerah Tribute P Ramlee 2014 menerusi drama Menunggu Hujan Teduh.
Antara drama lain yang pernah diarahkannya seperti siri drama popular seperti Kerana Terpaksa Aku Relakan dan Teman Lelaki Upahan di slot Akasia , TV3.
Luah Azma, dia tidak menyimpan dendam terhadap Ika. Sebaliknya dia berasa lega dan bersyukur kerana Ika membalas pesanan ringkas yang dikirimnya sejurus selepas kejadian dan satu lagi dihantar sejurus usai prosiding mahkamah.
"Selepas kejadian itu berlaku saya ada menghantar pesanan ringkas meminta maaf daripada Ika. Malah selepas prosiding mahkamah selesai, saya juga menghantar pesanan ringkas kepadanya.
"Saya beritahu dia bahwa insiden ini beri pengajaran besara pada saya dan saya tidak simpan dendam terhadapnya. Dan dia membalas dengan kiriman positif dan mengatakan kejadian ini juga beri pengajaran pada dirinya," tuturnya.
Azma berjanji akan lebih berhati-hati dan tidak akan mengulangi tindakan sedemikian kepada mana-mana pihak pada masa akan datang. Katanya, dia juga akan cuba mempelajari method lain untuk digunapakai masa akan datang selain mengambil pendekatan mengadakan kelas latihan lakonan sebelum memulakan penggambaran.
"Saya juga berterima kasih kepada pihak penerbit dan produksi Suhan Movie kerana sepanjang kes tersebut, pihak penerbit banyak menenangkan saya. Saya juga berasa bersalah kerana telah menyusahkan pihak produksi untuk re-shoot semula.
"Saya bertanggungjawab atas apa yang berlaku dan terhadap kerja saya dan saya telah pun selesai sebanyak tujuh episod dan saya buat keputusan menarik diri," katanya.
Tempat Azma telah digantikan oleh pengarah Aidil Fitri Mohd Yunus bagi menyudahkan penggambaran yang berbaki sebanyak 13 episod. Sementara watak Ika Nabila digantikan dengan pelakon baharu, Puteri Najwa selepas Ika juga mengambil keputusan menarik diri.
Dawai Asmara turut dibintangi barisan pelakon seperti Mahmud Ali Basyar dan Zoey. Drama 20 episod itu dijangka akan ditayangkan pada Januari 2016 di TV3.