Aktres Datin Seri Umie Aida bersyukur dan gembira kerana suaminya Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dibebaskan selepas lebih dua bulan ditahan di Penjara Sungai Buloh.
Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan pertuduhan dihadapi bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu dan peguam Matthias Chang adalah tidak mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Hakim Datuk Mohd Azman Husin turut memerintahkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen kerana kesalahan di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun jika sabit kesalahan.
Khairuddin dan peguam peguam Matthias Chang dilepaskan dengan jaminan RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Umie membayar jaminan bagi pihak suaminya manakala adik Chang membayar jaminan bagi pihak Chang.
Turut hadir pada prosiding hari ini ialah Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Sanusi Junid serta ahli keluarga Khairuddin dan Matthias.
Sementara itu, BERNAMA melaporkan, Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daun memberitahu mahkamah, pendakwaan kemungkinan besar akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.
Hakim menetapkan 12 Januari tahun depan bagi pengurusan kes sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen.
Terdahulu, Khairuddin, 53, dan Chang, 65, didakwa cuba melakukan sabotaj terhadap perkhidmatan perbankan dan kewangan negara di lima lokasi antara 28 Jun hingga 26 Ogos tahun ini mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan (Akta 547), yang boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun, jika sabit kesalahan.
Lima lokasi itu adalah pejabat Ketua Bahagian Jenayah Ekonomi dan Kewangan Perancis di Paris, Balai Polis Charing Cross London, United Kingdom, pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern, Balai Polis WaiChan, Hong Kong, dan ibu pejabat polis Cantoment, Singapura.