Bukan Perli Orang Arab - Mawi


Penyanyi Mawi menjelaskan bait lirik "orang arab balik arab berjubah labuh" menerusi single terbaharunya berkolaborasi bersama penyanyi rap Filsuf berjudul Sahabat Dalam Tubuh, merupakan satu ayat yang diambil daripada sebuah pantun lama.
"Tak perli orang arab... Tapi itu adalah pantun lama yang tertulis dalam sebuah buku. Saya memang suka baca buku dan pantun-pantun lama. Jadi sewaktu menghasilkan lirik lagu ini, saya masukkan ayat itu," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single tersebut Tubuh di pejabat Warner Music, Damansara, semalam.
Berkongsi lanjut mengenai single tersebut, Mawi berkata penghasilan lagu tersebut mengambil masa selama enam bulan kerana melodi lagu berkenaan menggabungkan irama arab, Melayu asli dan pop.
"Lagu ini memang berbeza kerana kami ingin tampilkan kelainan dan sebab itu mengambil masa selama enam bulan untuk disiapkan dan kami berpuas hati dengan hasilnya.
"Bagaimanapun proses memasukkan vokal oleh Filsuf dan saya hanya dilakukan dalam masa satu jam sahaja", katanya.
Manakala pembikinan muzik video lagu berkenaan dirakamkan di Jordan dan Palestin pada Julai lalu.
Dalam pada itu Mawi berkata, dia kini lebih selesa menggubah melodi dan lirik lagunya sendiri tanpa menggunakan khidmat komposer lain dan memilih untuk lebih merakamkan lagu-lagu berunsurkan kerohanian kerana ia kena dengan jiwanya sebagai penyanyi.
"Selama 10 tahun saya dalam industri ini dan sepanjang tempoh itu saya sudah cuba tambil dengan banyak genre lagu. Ternyata kebanyakannya kurang menjadi dan tak memuaskan hati saya.
"Bila rasa kurang puas hati dan ada saja yang tidak kena bagi saya, jadi saya rasa elok saja saya buat lagu sendiri. Dan akhirnya sekarang saya sudah jumpa apa yang memberi kepuasan kepada saya selain ia diterima baik oleh peminat," ujarnya.
Sementara Filsuf atau dulunya dikenali sebagai Daly (Ahli Fiqir) pula berkata, dia serasi bekerjasama dengan bekas juara program Akademi Fantasia 3 bermula dengan penghasilan single pertama, Al' Nauraa'.
Malah mereka merancang untuk merakamkan sebuah album duet bersama pada masa akan datang.
"Mungkin sudah jodoh saya dengan Mawi agaknya. Kami senang bekerjasama kerana keserasian yang wujud terutamanya ketika proses menggubah lagu dan menulis lirik,"
"Kami juga merancang untuk merakamkan sebuah album duet dengan genre kerohanian seperti mana dua single kami sebelum ini," katanya yang juga bakal muncul dengan single solo dalam masa terdekat ini berjudul Jangan Cakap Abang Tak Payung.

Post a Comment

Previous Post Next Post