Penyanyi berpengalaman Ito Mohd mendedahkan dia tidak pernah mendapat wang hasil royalti menerusi dua buah lagu ciptaannya iaitu Damai dan Indahnya Panorama yang disiarkan dalam animasi Upin Ipin walaupun ia popular sehingga ke luar negara.
Memetik laporan mStar online, vokalis kumpulan Blues Gang itu bagaimanapun terpaksa akur memandangkan perjanjian asal dengan pihak produksinya, Les Copaque ialah, dia hanya mendapat wang hasil ciptaannya secara sekali gus serta sebahagian wang daripada penjualan album sahaja.
"Mengikut kata pihak produksi, saya tidak dapat royalti kerana lagu berkenaan tidak dimainkan di radio. Hasil penjualan album pun susah untuk diperoleh memandangkan cetak rompak turut berleluasa.
"Jadi saya pun tak tahu nak salahkan siapa kerana tidak tahu punca sebenar.
"Cuma saya terkilan dengan keadaan. Dua lagu tersebut begitu popular sehingga animasi itu dikenali hampir ke seluruh dunia, tetapi hasil royalti karya saya langsung saya tak dapat," katanya.
Tambah Ito, bagaimanapun dia tidak menyalahkan pihak produksi sebaliknya bersyukur kerana diberi peluang menghasilkan lagu bagi animasi popular tersebut.
Lagu Damai dan Indahnya Panorama telah dihasilkan Ito sekitar tahun 2007.