“Ummi dan abah tak dok harto nok bui ko anok-anok… pelajare lah hok penting. (Ilmu) dunio dan akhirat, dua-dua penting.. Kito nie oghe susoh,” demikian kata-kata inspirasi yang sering dipegang oleh murid cemerlang, Anis Najwa Mohd Nafizon, 12, yang memperolehi 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015 dari Sekolah Kebangsaan Dato' Abdul Hamid, Pasir Mas, Kelantan.
Anak pasangan Mohd Nafizon, 51, dan Nazariah, 49, menanam tekad untuk belajar bersungguh-sungguh bagi membuktikan bahawa kesusahan hidup bukan penghalang untuk dia berjaya dan mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran.
Kata Najwa yang mesra dengan panggilan Wawa, dia berhasrat membalas jasa kedua ibu bapanya yang bertungkus lumus membesarkannya dan adik-beradik lain.
“Wawa nak balas jasa ummi dan abah. Ummi, abah selalu pesan supaya belajar rajin-rajin.
“(Melihat) Kesusahan ummi dan abah bekerja jual kueh, jadi tukang urut telah memberi semangat kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh dan ini merupakan hadiah untuk ummi dan abah,” kata Wawa ketika hubungi Malaysian Digest, semalam.
Sementara itu, Nazariah, ibu kepada Wawa berkata dia tidak menjangka anak keempat dari lima beradik itu mampu mendapat 5A.
“Memang dalam peperiksaan percubaan, dia boleh 5A. Tapi semasa selesai peperiksaan (UPSR), Wawa kata dia tak yakin boleh 5A sebab soalan Bahasa Melayu susah.
“Tambahan pula semalam, masa teman (ketika menemani) Wawa untuk mengambil keputusan, cikgu memaklumkan hanya empat orang murid sahaja yang mendapat 5A. Jadi, saya berkata kepada Wawa, kita berserah kepada Tuhan saja.
“Namun , Alhamdulillah saya terkejut selepas cikgu mengumumkan Wawa adalah salah seorang murid yang mendapat 5A,” katanya yang bekerja sebagai penjual kueh dan tukang urut.
Meskipun kehidupan mereka sekeluarga susah, namun Nazariah dan suami sering mengingatkan anak-anak mereka bahawa kemiskinan tidak seharusnya diwarisi, selain tidak menjadikan itu sebagai alasan untuk mengabaikan pendidikan anak-anak.
Menurut Nazariah, dia dan suaminya sebelum ini mengambil keputusan berpindah ke Kuala Krai bagi mencari rezeki, sebelum terpaksa kembali semula ke Pasir Mas akibat banjir teruk yang melanda daerah tersebut, tahun lalu.
“Selama empat tahun saya tinggal di sana (Kuala Krai) untuk berniaga. Namun, selepas banjir tahun lalu kami sekeluarga balik semula ke Pasir Mas.
“Harta benda habis musnah masa banjir. Duduk sana (Kuala Krai) pun rumah sewa.. Lepas itu, balik semula Pasir Mas. Tetapi, saya sentiasa pesan kat anak-anak, kita orang miskin, jadi kena belajar sungguh-sungguh.
“Saya sungguh berbangga dengan keputusannya. Harap keputusan itu boleh memberi semangat kepada murid dan ibu bapa lain untuk mendorong anak-anak berjaya,” kata Nazariah yang merancang untuk mendaftarkan Wawa ke sekolah berasrama penuh.