Kira-kira kurang sebulan saja lagi, Aliff Aziz, 24, bakal bertukar status menjadi tunangan orang sementelah tarikh pertunangannya dengan kekasih hati semakin hampir.
Penyanyi kelahiran Singapura yang cukup popular dengan lagu Sayang Sayang ini bakal melangsungkan pertunangan dengan penyanyi Bella Astillah, 21, pada 12 Disember depan bertempat di Plaza Jelutong, Shah Alam, Selangor.
"Saya sangat gembira dan teruja, tetapi dalam masa sama saya tetap berdebar. Sebab ini majlis pertama seumpamanya dalam hidup saya (ketawa). Insya-Allah, dalam perancangan kami ingin mengikat tali pertunangan untuk tempoh setahun," katanya seperti yang dilaporkan Kosmo!.
Mengenai persiapan majlis, Aliff berkata dari Semua persiapan majlis hampir siap sepenuhnya termasuklah dari segi lokasi, persiapan barang, pakaian dan yang berkaitan. Dia dan kekasihnya turut dibantu oleh keluarga masing-masing sepanjang membuat persiapan tersebut
Memilih tema moden, Aliff mahukan majlis tersebut berjalan dalam keadaan cukup sederhana tetapi meriah.
Mengenai perancangan majlis perkahwinan pula, pasangan ini merancang untuk mengadakan tiga buah majlis resepsi.
Pertama, majlis pernikahan dan resepsi di Kuala Lumpur sebelum majlis kedua untuk meraikan keluarga dan sanak-saudara Bella yang tidak dapat hadir di Sandakan, Sabah. Kemudian, barulah majlis untuk keluarga Aliff pula diadakan di Singapura.