KUALA LUMPUR – Seramai 102 pemandu teksi di Lembah Klang semalam memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk memohon satu injunksi dan deklarasi bagi mengharamkan teksi dalam talian iaitu Uber, Grabcar dan Blacklane daripada terus beroperasi.
Menerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang (JKBPTLK), mereka yang diketuai pengerusinya, Zailani Isa Usuludin hadir ke Mahkamah Tinggi di sini sebagai plaintif manakala SPAD selaku defendan.
Saman terhadap SPAD itu difailkan menerusi Tetuan R. Kengadharan & Co. di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.
Dalam writ saman tersebut, JKBPTLK memohon perintah deklarasi supaya SPAD selaku defendan mengharamkan operasi Uber, Grabcar dan Blacklane yang merupakan perkhidmatan teksi dalam talian kerana ia tidak tertakluk di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 714).
Plaintif turut memohon perintah injunksi agar SPAD tidak mengesahkan aktiviti dan operasi ketiga-tiga perkhidmatan teksi dalam talian itu selain mengeluarkan satu garis panduan dan pekeliling tertakluk kepada persetujuan terma-terma bagi mengharamkan operasi dan aktiviti perkhidmatan Uber, Grabcar dan Blacklane.
JKBPTLK juga memohon ganti rugi am, kos, faedah dan kos lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Di luar mahkamah, Zailani, 51, berkata, kumpulannya bertindak demikian kerana operasi teksi seperti Uber, Grabcar dan Blacklane telah menjejaskan 60 peratus pendapatan mereka.
“Jika sebelum ini kami mampu memperoleh RM150 sehari dalam tempoh lapan jam bekerja, kini pendapatan kami hanya RM80 sehari.