Satu lagi rekod dunia dicipta baru-baru ini. Kali ini ianya melibatkan ahli keluarga di mana seorang bapa dan anak perempuan memiliki lidah terlebar di dunia sekaligus telah pun diiktiraf oleh Guinness World Records.
Bapa tersebut bernama Byron Schlenker yang berumur 47 tahun mempunyai lidah selebar 8.6 cm iaitu 2 cm lebih lebar berbanding dengan iPhone 6. Tambahan pula, anak perempuannya pula yang bernama Emily berumur 14 tahun mempunyai lidah selebar 7.3 cm juga turut mendapat pengiktirafan sebagai seorang wanita yang mempunyai lidah terlebar di dunia. Secara umumnya lidah normal manusia mempunyai ukuran di antara 4 cm sehingga 5 cm.
Byron menyedari bahawa dia mempunyai lidah terlebar setelah melihat satu salinan buku Guinness World Records semasa sedang membantu Emily untuk menyiapkan sebuah projek di sekolah. Buku tersebut juga menerangkan berkaitan rekod dunia yang dimiliki oleh seorang rakyat Australia yang mempunyai lidah terlebar sebanyak 7.9 cm.
Justeru, Byron mendapat idea untuk melakukan perkara yang sama disebabkan oleh kelebaran lidah yang dimiliki oleh dia dan anaknya. Usaha yang dilakukan oleh dia amat berbaloi setelah pihak Guinness World Records mengukur kelebaran lidah mereka berdua dan mendapat pengiktirafan tersebut.