PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan isu pertukaran agama melibatkan Muslim hanya boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah.
Keputusan dibuat selepas dua daripada tiga hakim memutuskan isu ini merupakan hak eksklusif Mahkamah Syariah.
Dua hakim menyokong iaitu Pengerusi Panel Hakim Balia Yusof Wahi dan Hakim Badariah Sahamid manakala Hakim Hamid Sultan Abu Backer memutuskan perbicaraan tersebut boleh dibawa ke Mahkamah Sivil.
Keputusan panel tiga hakim itu sekaligus membenarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) dan lima yang lain mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi membatalkan pertukaran agama tiga kanak-kanak kepada Islam oleh seorang bapa mualaf.
Bapa tersebut, Muhd Riduan dahulunya dikenali sebagai K Patmanathan menukarkan agama tiga anaknya Tevi Darsiny, Karan Dinish dan Prasana Diksa kepada agama Islam.
Hakim Mahkamah Tinggi Sivil Ipoh Lee Swee Seng kemudiannya membatalkan tindakan Riduan mengislamkan tiga anaknya dan memutuskan sijil tersebut tidak sah.
Keputusan Mahkamah Tinggi Sivil Ipoh ini kemudiannya dibawa ke Mahkamah Rayuan.
Selain JAIP, turut merayu bagi kes ini adalah Pengarah JAIP, Pendaftar Pertukaran Agama, kerajaan negeri Perak, Kementerian Pendidikan, kerajaan Malaysia dan mualaf terbabit, Muhd. Riduan sendiri.