Ditertawa Selepas Jatuh Dalam Laut, Shafie Anggap Lumrah Dalam Politik

KUALA LUMPUR: Malang tidak berbau. Itulah yang berlaku kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang terjatuh ke dalam laut selepas jeti yang dilaluinya bersama rombongan pengiring tiba-tiba roboh di Kampung Pulau Selakan, Semporna, Jumaat lalu.
Memetik laporan The Star, kejadian berlaku ketika Ahli Parlimen Semporna itu mahu menghadiri majlis penyerahan kunci kepada enam pemilik rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) sekitar jam 11 pagi.
Shafie dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Sebuah bot turut dihantar untuk membawanya ke tempat yang selamat.
Nyata, insiden yang menimpa bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah itu tidak hanya berhenti disitu apabila gambar beliau terjatuh ke dalam laut menjadi viral di laman sosial.
Ekoran insiden berkenaan, segelintir pengguna media sosial mendakwa ia berpunca kerana sikap Shafie yang tidak mempedulikan kemajuan kampung itu, sebaliknya lebih berminat untuk ‘menyerang’ dan mengkritik isu-isu kontroversi dalam negara termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Inilah akibatnya apabila kawasan yang diberi tanggungjawab, tapi diabaikan,” kata seorang pengguna Twitter.
“Sibuk sangat dengan isu lain, sampai kawasan sendiri dilupakan,” tambah seorang lagi pengguna media sosial.
Namun, tidak kurang yang turut meluahkan rasa simpati terhadap nasib yang menimpa Shafie dan pegawai pengiringnya dengan menyifatkan ia sebagai insiden “lucu”.
Menyedari insiden itu mengundang reaksi pelbagai, Shafie nyata tidak mengendahkan kritikan yang dilontarkan segelintir pihak di laman sosial.
“Ada juga kata-kata yang kurang enak didengar dan ada juga yang mentertawakan di laman-laman sosial, tetapi saya anggap itu perkara biasa, lumrah dalam politik. Saya doakan agar mereka ini diampunkan dosa dan diberikan hidayah oleh ALLAH,” katanya dipetik dalam satu kenyataan.
Sebaliknya, Shafie mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mendoakan keselamatannya.
“Alhamdulillah, saya selamat dan tiada sebarang kecederaan dan terima kasih semua atas doa dan semoga ALLAH SWT merahmati kita sepanjang masa.
“Adalah menjadi kebiasaan apabila saya pulang ke kawasan untuk hadir ke program-program yang telah diatur, ramai yang mengiringi perjalanan saya. Kebetulan struktur jeti tersebut tidak berapa kukuh untuk menampung semua orang dalam satu-satu masa," ujarnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post